Majikan perlu memberhentikan pekerja asing terlebih dahulu sebelum memberhentikan pekerja tempatan jika sesebuah syarikat itu menghadapi masalah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib menegaskan, syarikat juga tidak boleh memberhentikan pekerja secara serta merta kerana ia jelas melanggar Akta Kerja 1955 (Akta 265).

"Terdapat beberapa perlindungan asas yang diberikan kepada pekerja yang diberhentikan secara tiba-tiba.

"Antaranya, majikan hendaklah memberikan tempoh notis atau membayar gaji ganti notis mencukupi mengikut kontrak perkhidmatan, namun tidak kurang daripada yang ditetapkan di bawah seksyen 12 (2) Akta Kerja.

"Majikan juga diwajibkan membayar faedah pemberhentian kerja mengikut kontrak perkhidmatan tetapi tidak boleh kurang dari kadar yang ditetapkan dalam Peraturan Kerja, Faedah Penamatan dan Henti Kerja Sementara 1980," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Dr Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) yang membangkitkan kebimbangan akibat banyak kes pemberhentian pekerja oleh majikan sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, pekerja yang diberhentikan majikan boleh menuntut faedah kewangan dengan melaporkan tuntutan yang mahu dibuat di mana-mana cawangan Pejabat Tenaga Kerja.