Timbalan Menteri Luar Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed menggesa orang ramai dan keluarga mangsa culik di Pulau Ligitan, Sabah pada April lalu, menghentikan pertikaian wang tebusan RM12 juta, lapor The Malay Mail Online.

Nur Jazlan berkata, apa yang penting ketika ini adalah keselamatan empat rakyat Malaysia berkenaan, memandangkan kempat-empat mereka telah pulang ke rumah bersama keluarga mereka.

Dalam laporan yang sama, Nur Jazlan turut memberi amaran, sebarang pertikaian mengenai wang tebusan berkenaan hanya akan menggalakkan aktiviti penculikan.

"Apa yang penting sekarang, mereka sudah dibebaskan. Itu sahaja. Jangan menggalakkan aktiviti penculikan. Apabila anda mendedahkan jumlah seperti RM3 juta bagi setiap penculikan, anda hanya menggalakkan penjenayah untuk terus melakukan aktiviti penculikan.

"Hentikan beri tanggapan buruk untuk menjejaskan rundingan pada masa hadapan, jika ada. Ia hanya akan memberi impak yang buruk" katanya kepada The Malay Mail Online semalam.

Perdebatan mengenai wang tebusan RM12 juta tercetus apabila empat mangsa yang diculik, Wong Teck Kang, 31, dan Wong Teck Chii, 29; sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21; dan seorang lagi anak kapal bot tunda Wong Hung Sing, 34, dibebaskan oleh militan berkenaan pada 8 Jun lalu.

Menurut seorang bapa saudara kepada salah seorang mangsa yang telah dibebaskan, wang yang dikumpulkan untuk membayar wang tebusan tersebut telah dimasukkan ke dalam akaun bank polis pada 24 Mei lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid pula berkata unit Cawangan Khas Polis telah menerima wang berkenaan daripada ahli keluarga dan telah diberikan kepada agensi Filipina tertentu, tanpa menamakan agensi berkenaan.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sama sekali tidak pernah menyentuh wang berkenaan.

Jelas Khalid, wang tersebut dipercayai diserahkan kepada pihak ketiga yang menghubungi sendiri keluarga mangsa dengan menawarkan pembebasan keempat-empat mangsa.