Sebarang tanda kecenderungan ke arah ekstremisme dalam kalangan rakyat Malaysia perlu dihentikan segera dan ditangani sebelum ia menimbulkan ancaman serius kepada keamanan dan kestabilan di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata oleh itu langkah-langkah yang kukuh mesti dilaksanakan bagi mengekang ancaman ini dan menanganinya di peringkat akar umbi.

"Malaysia telah melaksanakan usaha itu dengan memperkenalkan undang-undang yang ketat termasuk Akta Pencegahan Keganasan (POTA) yang telah diluluskan Parlimen baru-baru ini," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Forum Antarabangsa 'Mendampingi Golongan Muda Untuk Menjenayahkan Perang dan Mentenagakan Keamanan' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir pengasas/pengerusi Yayasan Kuala Lumpur Untuk Menjenayahkan Perang (KLFCW) Tun Dr Mahathir Mohamad, pengasas/pengerusi Kelab Menjenayahkan Perang (CWC) Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan, berkata tema bagi persidangan antarabangsa ini adalah paling sesuai kerana ia mempunyai mesej yang jelas dan tepat kepada generasi muda kerana mereka berperanan penting bagi membentuk masa depan.

"Pihak penganjur juga menyenaraikan anggota belia daripada golongan perintis dalam CWC untuk berkongsi pandangan dunia mereka mengenai segalanya tentang pergerakan mereka, harapan dan aspirasi mereka," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata generasi muda perlu memahami dan menghargai bahawa negara ini telah mendapat rahmat dalam pelbagai cara dengan tidak berlaku konflik bersenjata atau kehilangan begitu banyak nyawa seperti tempat-tempat lain.

"Saya mengingatkan anda mengenai perkara ini kepada golongan muda yang hadir di sini mengenai apa yang boleh diberi oleh keamanan dan suasana muhibah kepada kita semua, bukan hanya di rumah atau di belakang halaman kita sendiri tetapi di peringkat antarabangsa. Dan kerana kita telah berikan anak-anak kita pendidikan, penjagaan kesihatan dan kebajikan yang terbaik, kebanyakan rakyat Malaysia menikmati taraf hidup yang tinggi.

"Ramai yang mampu mendapatkan pekerjaan di peringkat antarabangsa, semuanya kerana latar belakang yang kukuh dalam pendidikan rendah dan menengah," katanya.

Muhyiddin juga menasihatkan generasi muda bahawa mereka perlu menghargai masa dan usaha Dr Siti Hasmah berhubung penglibatan beliau kepada projek-projek di bawah CWC yang diwujudkan sejak 2007.

CWS bertujuan bagi membina sebuah masyarakat yang memilih pengetahuan, kesedaran dan pemahaman yang jelas mengenai kesan peperangan terutama ke atas golongan wanita dan kanak-kanak. CWC kini mempunyai sekurang-kurangnya 13 kelab di negara ini.

Sebelum itu, Muhyiddin turut memuji Dr Mahathir kerana memberikan pandangan dan advokasinya terhadap peperangan.

"Beliau (Dr Mahathir) sangat lantang menyuarakan kebenaran tentang kekejaman perang. Menceritakan mengenai kebenaran dan mempertahankannya... ini merupakan ciri utamanya sejak beliau menjadi doktor dan anggota UMNO.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata persidangan itu ditujukan khas kepada masa depan kanak-kanak.

"Masa depan anak-anak kita begitu penting, ia adalah sesuai untuk menjadi hos persidangan ini berhubung beberapa topik berkaitan perang selama dua hari, yang bermula semalam," katanya kepada pemberita selepas itu.