Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah hari ini menggesa orang ramai untuk berhenti memberi tanggapan buruk kepada individu yang dipercayai “menyebarkan” COVID-19 dari Itali ke negeri itu.

Perkara itu ditegaskan semasa sidang media harian Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di Kuching pada Isnin.

Tegasnya ketika ini tiada siapa yang ingin dijangkiti virus COVID-19 dan sikap tuduh-menuduh harus dihentikan serta merta.

“Ingin saya nyatakan bahawa wabak ini tidak memilih bangsa dan agama, apa yang telah berlaku adalah perkara yang tidak diingini.

“Jadi hentikan tuduhan dan janganlah mewar-warkan bahawa wabak itu merebak disebabkan oleh seseorang itu, bangsa itu, bangsa ini dan menyebabkan perkara tidak sepatutnya berlaku,” jelasnya.

Abdul Karim mengeluarkan seruan ini susulan daripada isu tersebut yang tular di media sosial ketika ini.

“Harapan saya kepada rakyat Sarawak supaya berhenti membuat tuduhan secara melulu kerana tiada siapa yang ingin dijangkiti wabak ini.

“Pastinya mereka yang dijangkiti virus ini dan menjangkiti orang lain pasti tertekan jadi kita semua perlu berhenti membuat andaian serta tuduhan ini,” tegasnya lagi.