Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) mencadangkan agar ibu bapa bekerja yang mempunyai anak yang dijangkiti Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) diberi pelepasan cuti sekurang-kurangnya seminggu bagi mengelak kanak-kanak terlibat dihantar ke taska.

Presidennya, Norsheila Abdullah berkata, langkah itu bagi mengekang penularan wabak (HFMD) daripada menjangkiti anak asuhan lain di premis asuhan.

Menurutnya, cadangan itu pernah dinyatakan dalam Perbincangan Meja Bulat yang membincangkan kualiti perkhidmatan taska di Malaysia.

"Dalam peraturan akta sudah cakap mana-mana taska yang menerima kanak-kanak yang mempunyai penyakit berjangkit akan diambil tindakan. Namun kita faham ibu bapa tidak boleh bercuti dan kami faham mereka tiada ruang untuk tinggal di pejabat.

"Jadi mungkin Kementerian Kesihatan atau JKM bekerjasama jika kanak-kanak dijangkiti penyakit berjangkit ini diberi pelepasan cuti itu. Mungkin boleh beri seminggu untuk bapa, seminggu untuk ibu," katanya kepada media selepas Sambutan Hari Taska 2018 di sini hari ini.

Pada masa sama beliau menyarankan ibu bapa agar sentiasa memantau keadaan kesihatan anak-anak mereka bagi mencegah penularan penyakit berjangkit.

Manakala pihak taska pula akan melakukan pembersihan menyeluruh di premis berkenaan jika terdapat kes penyakit berjangkit seperti HFMD.

Malah, ada taska yang terpaksa menutup sementara dalam tempoh dua minggu bagi melakukan kerja pembersihan.