Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengarahkan pengendali tadika, taska, pusat asuhan kanak-kanak dan guru sekolah di seluruh negara melakukan saringan kesihatan (screening) terhadap semua kanak-kanak bagi memastikan mereka bebas dari penyakit tangan,kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, ketika ini terdapat peningkatan kes di seluruh negara dan tindakan pencegahan perlu dilakukan segera untuk mengelak penularan kes berkenaan.

Katanya, arahan tersebut sudah dikeluarkan sejak Isnin lepas bagi memastikan kanak-kanak yang dijangkiti HFMD tidak datang ke premis berkenaan supaya murid lain tidak dijangkiti.

"Jadi kita sudah beri arahan supaya mereka yang uruskan tadika atau sekolah supaya buat screening sebelum memulakan kelas untuk (kenal pasti) tanda HFMD.

"Selain itu, kita arahkan pembersihan dikerapkan untuk elakkan penyebaran virus dan juga untuk kakitangan diberikan cuti sakit kuarantin supaya boleh jaga anak.

"Mudah-mudahan dengan usaha ini kita akan dapat mengawalnya. Sekiranya keadaan merosot tindakan seterusnya dan lebih menyeluruh akan diambil," jelas Dr Lee.

Katanya, sehingga kini 34,929 kes dilaporkan sejak Januari hingga semalam berbanding 22,422 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sejumlah 539 premis pula ditutup membabitkan 39 sekolah, tadika serta pra-sekolah (259) dan taska sebanyak 241 buah .

Daripada jumlah itu, sembilan sekolah ditutup sepenuhnya, iaitu tujuh sekolah di Sabah, serta masing-masing satu di Pulau Pinang dan Pahang, manakala 30 buah sekolah lagi hanya membabitkan kelas sahaja.

Pada masa sama, beliau menegaskan tiada laporan kanak-kanak yang meninggal dunia disebabkan HFMD.

Dr Lee berkata ketika ini kes HFMD masih terkawal dan jika keadaan semakin memburuk, Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan seterusnya yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata demikian kepada media selepas program Gotong Royong Mega 1.0 Perangi Aedes di Taman Pauh Indah, Permatang Pauh Pulau Pinang pada Sabtu.

Program itu dijalankan secara serentak di seluruh negara hari ini dalam usaha untul mencegah wabak denggi daripada terus menular.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan Dr Afif Bahardin dan Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang Datuk Dr Wan Mansor Hamzah.