Teka-teki mengenai seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak 8 April lalu ketika menjerat haiwan di hutan berhampiran Teluk Rubiah, Seri Manjung, berakhir apabila mayatnya ditemui hari ini.

Mayat mangsa Ho Tong Chim, 89, yang berasal dari Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini, ditemui 15 hari selepas dilaporkan hilang.

Operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Manjung, bersebelahan kuari Teluk Rubiah sejak 8 April namun gagal mengesan mangsa.

Jurucakap BBP Seri Manjung mengesahkan menerima panggilan pada jam 11.58 pagi tadi.

"Sebaik tiba di lokasi, Bomba dimaklumkan mangsa ditemui oleh orang awam dalam jarak 1.5km dari motor yang diletakkan oleh mangsa, bersebelahan kuari.

"Pasukan menemukan seorang lelaki berbangsa Cina telah meninggal dunia dan disahkan oleh pegawai perubatan yang hadir.

"Pasukan BBP Seri Manjung dengan kekuatan lapan orang anggota termasuk tiga anggota dari unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan bersama polis membawa mayat mangsa keluar dari lokasi menggunakan pengusung.

"Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," ujar beliau.

Operasi diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II Abdul Azhar Ismail dan operasai tamat sepenuhnya pada pukul 1.51 petang.