Himpunan 812: Muhyiddin puas hati pendekatan diambil PDRM

Himpunan 812: Muhyiddin puas hati pendekatan diambil PDRM
MUHYIIDDIN mengulangi pendirian kerajaan untuk sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman.
KUALA LUMPUR : Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berpuas hati dengan pendekatan yang diambil Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memudahcara perhimpunan kesyukuran meraikan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di ibu negara, pada Sabtu mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Dalam kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebooknya, Muhyiddin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada PDRM, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan tersebut berlangsung.

“Perhimpunan kesyukuran di atas keputusan kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.
“Saya juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua agensi kerajaan yang terlibat dalam mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perhimpunan ini berlangsung.

“Saya berpuas hati dengan pendekatan yang diambil oleh pihak polis dalam memudahcara perhimpunan ini mengikut peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.


 



Dalam pada itu, Muhyiddin juga mengulangi pendirian kerajaan yang sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman selagi mana hak-hak ini diamalkan menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur dan para peserta perhimpunan kerana telah berhimpun secara aman dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang perhimpunan diadakan.

“Selaras dengan semangat Malaysia Baharu, saya ingin mengulangi pendirian kerajaan untuk sentiasa menghormati hak rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman selagimana hak-hak ini diamalkan menurut peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan,” tambah beliau lagi.