Anggota Parlimen Bentong Wong Tack dan 14 individu lain didenda antara RM1,500 dan RM1,600 selepas didapati bersalah menyertai perhimpunan haram bagi membantah pembinaan kilang Lynas Corporation Sdn Bhd (Lynas) pada 2014.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuantan Datuk Unaizah Mohd membuat keputusan itu hari ini, selepas berpuas hati bahawa pembelaan semua tertuduh yang diberikan secara bersumpah gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan dihadapi mereka.

Unaizah memerintahkan Wong Tack dan sembilan yang lain, didenda RM1,500 atas kesalahan itu atau dipenjara selama 30 hari jika gagal berbuat demikian.

Sementara itu, lima lagi tertuduh dihukum denda RM1,600 atas kesalahan merempuh polis yang mahu menyuraikan perhimpunan berkenaan, atau dipenjarakan selama 40 hari jika gagal menjelaskan denda.

Seorang lagi tertuduh, penoreh getah Ho Kam Hua yang berhadapan satu lagi tuduhan mencakar dan menyepak anggota polis, didenda RM1,000 atau dihukum penjara 20 hari jika gagal membuat pembayaran.

Wong Tack, yang ketika itu merupakan Pengerusi Kumpulan Hijau, dan semua tertuduh didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 9 Julai 2014, manakala perbicaraan bermula pada 21 Mac 2016.

Seramai 23 saksi pendakwaan dipanggil dan pihak pembelaan mengemukakan 19 saksi termasuk seorang pakar kejuruteraan kimia dan pakar kesihatan awam.

Wong, 59 tahun, bersama Raymond Ng Abdullah, 43 tahun, Rapar Ahmad, 48 tahun, Ta Weng Seng, 43 tahun, Hew Kuan Yau, 48 tahun, Lee Khai Ming, 41 tahun, Tan Chee Hooi, 43 tahun, Zamri Zonal, 30 tahun, Thomas Wang, 59 tahun, dan Chong Kong Yuen, 69 tahun, dituduh mengadakan perhimpunan haram bagi membantah operasi kilang Lynas walaupun sudah diminta bersurai oleh Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Abdul Aziz Salleh.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 4 petang dan 5.30 petang di Jalan Bandaran, Gebeng Kuantan pada 22 Jun, 2014 dan bagi kesalahan itu, pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan.

Lima lagi tertuduh iaitu Phua Kia Yaw, 47 tahun, Wong Chee Wen, 48 tahun, Wong Chee Wai, 39 tahun, Foong Poh Choo, 40 tahun, dan Ho Kam Huat, 48 tahun, dituduh mengikut Seksyen 147 kanun sama kerana mengadakan perhimpunan yang menyalahi undang-undang bertujuan memprotes operasi Lynas dengan melakukan kekerasan iaitu merempuh halangan polis pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Ho juga didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam dengan menendang Detektif Korporal Isaher@Azhar Abd Hamid yang cuba menangkapnya dengan menyepak dan mencakar sehingga mendatangkan kecederaan di kaki dan muka mangsa.

Ketiga-tiga pertuduhan itu masing-masing memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua tertuduh menjelaskan denda yang dikenakan terhadap mereka.