Angkatan Muda Keadilan hari ini menjelaskan sebab kenapa mereka memilih kawasan Sogo sebagai lokasi himpunan #KitaLawan.

Menurut Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, lokasi itu dipilih kerana ianya sebuah tempat awam dan merupakan lokasi yang terbaik bagi meluahkan kebebasan bersuara.

“Kita percaya bahawa Sogo merupakan (lokasi) yang terbaik atas beberapa sebab, di antaranya pengangkutan awam, mudah dilihat dan berkumpul di tempat awam merupakan sebahagian dari kebebasan bersuara.

“Ia tentang usaha untuk menyampaikan sesuatu, oleh itu kami berada di tempat yang tersembunyi ia tidak masuk akal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya pada Rabu.

Tambah Nik Nazmi, selain untuk menunjukkan kebebasan bersuara, ia juga antara tempat pilihan ‘bersejarah’ semasa himpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998 dahulu.

Beliau juga akui terdapat cadangan dari pihak polis supaya himpunan itu diadakan di lokasi-lokasi lain termasuk stadium.

Mengulas tentang himpunan Sabtu lalu, katanya himpunan tersebut telah berlangsung secara aman dan pihaknya akan terus berkomunikasi dengan pihak polis bagi memastikan ianya terus berjalan lancar.

“Jawatankuasa #KitaLawan termasuk diri saya akan berjumpa dengan Ketua IDP Dang Wangi untuk kali kedua,” kata Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Seri Setia.

Himpunan #KitaLawan Sabtu lalu, menyaksikan sekitar 150 hingga 200 penyokong kumpulan terbabit berarak di jalan-jalan utama ibu negara sambil melaungkan slogan menuntut pembebasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perarakan bermula pada jam 5.10 petang di pusat membeli-belah Sogo di ibu negara sebelum kumpulan terbabit tiba di Taman Suria KLCC pada jam 6.05 petang.

Keadaan di jalan-jalan utama seperti Jalan Sultan Ismail dan Jalan Ampang turut sesak namun berjaya dikawal anggota polis bertugas.

Pada 10 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar selepas mendapati Anwar bersalah atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan tujuh tahun lalu.