Tutup

Hina kaum, agama, Raja: 21,296 laporan dalam 6 minggu

Hina kaum, agama, Raja: 21,296 laporan dalam 6 minggu
SKMM terima 21,296 laporan berhubung kandungan berunsur perkauman, keagamaan dan menghina institusi Diraja dalam tempoh enam minggu pertama, kata Baru Bian. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menerima 21,296 laporan berhubung kandungan berunsur perkauman, keagamaan dan menghina institusi Diraja (3R - race, religion and royalty) dalam tempoh enam minggu pertama.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian yang menjawab di Dewan Rakyat mewakili Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berkata, angka itu direkodkan sejak platform khas isu tersebut diwujudkan pada 17 Ogos lalu.
“Daripada jumlah keseluruhan maklumat yang diterima SKMM, 19,968 masih dalam proses pengesahan manakala 259 maklumat yang diterima telahpun diambil tindakan.

“Tindakan yang diambil termasuk memulakan siasatan terhadap penyebar maklumat berkenaan, laporan penyalahgunaan dan penurunan kandungan dengan kerjasama pihak penyedia platform media sosial serta merujuk kepada pihak berkuasa lain untuk tindakan susulan,” katanya di Dewan Rakyat sebagai wakil Timbalan Menteri KKMM, Eddin Syazlee Shith yang sebelum itu pitam pagi tadi.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Nancy Shukri (GPS-Batang Sadong) yang meminta KKMM menyatakan langkah yang diambil untuk memastikan pengguna internet tidak menyalahgunakan isu-isu perkauman dan keagamaan untuk kepentingan politik hingga menjejaskan keharmonian.

Tambah Baru, hasil penelitian SKMM mendapati, 80 peratus daripada maklumat yang diterima mempunyai kandungan berbaur perkauman manakala 20 peratus menjurus kepada isu agama.

Menurut beliau, satu jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Kenayah Siber PDRM-MCMC ditubuhkan bertujuan untuk memerangi ancaman jenayah siber secara lebih strategik dan tersusun.

Jawatankuasa itu bukan sahaja menyelaraskan tindakan penguatkuasaan bersepadu dan pantas melibat isu 3R, malah turut merangkumi jenayah siber seperti macau scam, perjudian atas talian, pencurian maklumat, pengubahsuaian program atau data komputer dan penggodaman.


Tag: SKMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, 3R, agama, bangsa, Raja, Dewan Rakyat, Baru Bian



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.