Pemuda Pas Terengganu mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun Twitter ‘Tg Haslinda’ kerana menghina Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Kerajaan Negeri dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Pemuda Pas Terengganu, Nasir Abdul Razak berkata kenyataan wanita berkenaan adalah biadab dan sekali gus mengundang kemarahan seluruh rakyat di negara ini.

Beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci terhadap individu berkenaan seterusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Dengan ini tindakan menamakan (meletakkan) nama Tuan Haji Abdul Hadi sebagai salah seorang Jawatankuasa Pemilih merupakan satu fitnah yang cukup besar.

“Yang kedua, kita sudah faham senarai nama penerima anugerah ini sudah dipersetujui diperingkat istana atau sultan. Dengan mempertikaikan nama tersebut, maka kita merasakan ini satu penghinaan kepada pihak kerajaan negeri dan istana itu sendiri.

“Ketiga, tindakan menukar gambar Tuanku Sultan kepada Datuk Seri Abdul Hadi merupakan penghinaan yang besar kepada istitusi diraja dan kerajaan negeri,” tegas Nasir.

Terdahulu, pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada Khamis.

Nasir berkata pihaknya memberi tempoh selama 24 jam bagi individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kerajaan Negeri Terengganu, pihak istana dan Abdul Hadi.

Pihaknya turut menggesa individu terbabit memadamkan terus status yang telah dinaik turun ataupun menghadapi tindakan dari pihak berkuasa.