Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Hisbah Centre for Reform, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan seorang bekas menteri kewangan.

Laporan itu dibuat Setiausaha Hisbah, Abdul Ghani Haroon yang turut menyerahkan lebih 600 helaian dokumen kepada SPRM, dipercayai mengandungi maklumat terperinci berhubung kes itu.

"Dokumen ini merangkumi kepelbagaian laporan kewangan semasa bekas menteri kewangan itu mengetuai beberapa institusi dan syarikat," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Abdul Ghani yang enggan mendedahkan nama bekas menteri kewangan yang dimaksudkan, sekadar menyatakan bahawa individu itu dilantik di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak.

Katanya individu itu juga pernah mengendalikan antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terbesar di negara ini dengan imbuhan lebih RM1 juta.

Abdul Ghani yang turut enggan mendedahkan bentuk salah guna kuasa oleh bekas menteri kewangan itu berkata laporan berkaitan kes tersebut pernah dibuat oleh pengerusi Hisbah Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor kepada SPRM semasa pentadbiran Abdullah.

"Hisbah sekali lagi membuat laporan kerana mahu memastikan pentadbiran kerajaan baharu ini melakukan perubahan dan tidak melakukan kesilapan yang sama yang dilakukan pentadbiran sebelum ini," katanya.

-- BERNAMA