Kementerian Pengangkutan tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai nahas yang melibatkan pesawat Twin Otter milik MASwings yang terbabas berhampiran Lapangan Terbang Kudat semalam.

Menurut pemangku menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjelaskan, pihaknya tidak boleh mengeluarkan arahan untuk menghentikan penerbangan melibatkan pesawat berkenaan dan operasi penerbangan menggunakan pesawat itu masih diteruskan seperti biasa.

Ini kerana laporan awal siasatan masih belum siap sepenuhnya.

Katanya, beliau sendiri akan turun ke Kota Kinabalu dan Kudat pada hari Sabtu bagi menziarahi mangsa dan mendapatkan gambaran sebenar berhubung kejadian tersebut yang mengorbankan dua orang dan mencederakan yang lain.

“Kita tak tau apa sebenarnya berlaku, jadi kita tak ada sebab nak rehatkan pesawat tu mungkin puncanya tak ada kena mengena dengan pesawat tapi saya tak nak buat spekulasi lah,” kata Hishammuddin selepas sidang media selepas perasmian Karnival Kedaulatan, Keselamatan dan Kesejahteraan di sini petang Jumaat.

Katanya, beliau masih menunggu laporan awal berhubung nahas itu dan berjanji untuk mengumumkan dalam tempoh segera.

Siasatan masih dijalankan dan pihaknya tidak mengetahui dengan jelas punca berkenaan samada ianya melibatkan teknikal, kondisi pesawat atau kecuaian manusia.

Beliau juga meminta pihak Bahagian Siasatan Kemalangan Udara, Kementerian Pengangkutan bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam untuk menjalankan siasatan.