Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menapis semua pegawai di pejabatnya bagi memastikan rakyat yakin terhadap integriti mereka.

Beliau berkata, tapisan SPRM itu terhad kepada pegawai yang bekerja secara langsung dengannya, manakala bagi pegawai di jabatan lain di Wisma Putra, ia akan berpandukan garis panduan yang dikeluarkan kementerian.

"Saya sudah minta SPRM tapis semua pegawai menteri, bukan saja setakat tapis, tapi minta mereka pantau pegawai saya di pejabat menteri.

"Mereka perlu terus tapis agar rakyat yakin. Saya bimbang, kadang-kadang ramai bawah kita ni, dia buat macam-macam, tetapi akhirnya kita yang memimpin pula terpaksa bertanggungjawab untuk menjawab apa saja pertuduhan yang (membabitkan) pegawai bawah," katanya pada sidang media di Wisma Putra di sini, hari ini. -BERNAMA