Aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di blognya, hadir di Balai Polis Sri Petaling di sini bagi memberi keterangan malam ini.

Peguamnya, Zaid Malek, mengesahkan perkara itu.

"Ya betul. Saya akan mengeluarkan kenyataan setelah proses ini selesai," katanya.

Difahamkan, Zaid menemani Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira 10.30 malam ini setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.

Hari ini, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Sultan Muhammad V di blognya, semalam.

Hishamuddin didakwa memuat naik artikel itu di blognya www.tukartiub.blogspot.com.

Bagaimanapun, Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.

Sementara itu dalam laporan polis yang dibuat, Hishamuddin menafikan tuduhan berkenaan kerana blog berkenaan telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media Malaysia (SKMM)

Beliau percaya blog berkenaan digodam bertujuan untuk memfitnahnya.