Tindakan pengerusi HINDRAF P. Waythamoorthy yang mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya berundur hanya kerana tidak memenuhi tuntutan beliau, telah disifatkan sebagai "biadap dan melampaui batas".

Menurut naib presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein (gambar), sikap pemimpin HINDRAF itu yang cuba menyalahkan kerajaan khususnya Perdana Menteri "pada hakikatnya merupakan mainan politik beliau dalam menutup sikapnya yang lebih mementingkan diri sendiri".

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hishamuddin juga menyelar tindakan Waythamoorthy selaku Timbalan Menteri yang menuntut agar semua bajet kerajaan untuk masyarakat India diletakkan di bawah kawalannya.

“(Tindakan itu) mencerminkan sikap tamak dan tidak ikhlas beliau dalam memperjuangkan nasib kaum India secara holistik, seperti yang dilaung-laungkan sebelum ini," katanya.

Hishamuddin juga berkata Waythamoorthy perlu ingat bahawa ramai lagi pemimpin masyarakat dan pertubuhan NGO di Malaysia yang telah memperjuangkan nasib kira-kira dua juta kaum India di negara ini.

“Saya sendiri selaku Ahli Parlimen Sembrong telah banyak membantu kaum India di kawasan saya selama ini.

“Selaku Menteri Kabinet dan Naib Presiden UMNO, saya tidak dapat menerima tindakan Waythamoorthy menyerang kembali kerajaan selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri. Keputusan beliau memilih meletakkan jawatan setelah hanya 9 bulan di dalam pentadbiran merupakan satu perbuatan khianat yang ternyata membelakangkan semangat setiakawan dalam kerajaan,” katanya.

Hishamuddin juga mendakwa Waythamoorthy tidak pernah datang berjumpa dan berbincang beliau dalam hal ini.

“Ternyata, Waythamoorthy masih terpengaruh dengan corak pendekatan politik yang dilakukan oleh Hindraf iaitu melalui desakan dan tekanan. Beliau perlu memahami bahawa corak kepimpinan kerajaan BN sentiasa mengamalkan sikap demokrasi dan toleransi tanpa meminggirkan mana-mana kaum di negara ini,” kata Hishammuddin.

Sebagai contoh, Hishammuddin berkata kerajaan sudah memperuntukkan RM540 juta untuk pembangunan infrastruktur Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil sejak tahun 2009.

“Ini termasuk peruntukan RM100 juta setiap tahun bagi tahun 2012 dan tahun 2013. Kerajaan juga memperuntukkan peruntukan khas RM20 juta kepada 13 SJKT bagi tujuan pembangunan infrastruktur dan penyelengaraan bangunan pada tahun 2013.”

Awal bulan ini, Waythamoorthy telah meletak jawatan sebagai timbalan menteri dan juga sebagai senator.

Beliau telah mendakwa bahawa Najib gagal mongotakan janji kepada kaum India yang terkandung dalam perjanjian persefahaman (MOU) antara kerajaan dan HINDRAF.