Dua maut manakala dua lagi cedera apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Batu 19, Kampung Jering, Air Tawar dekat sini, pada pagi Ahad.

Identiti kesemua mangsa sedang dikenal pasti.

Menurut laporan Balai Bomba dan Penyelamat Air Tawar, pihaknya menerima pangilan mengenai kemalangan itu, kira-kita pukul 6.30 pagi.

Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati berlaku kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Honda Accord yang melanggar sebatang pokok.

Foto oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak

“Dua mangsa, seorang lelaki dan seorang perempuan berbangsa Cina telah tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan dua lagi mangsa lelaki dan perempuan Cina telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital,” menurut laporan itu.

Anggota bomba menggunakan peralatan penyelamat Hydraulic Rescue Cutter untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Suhaimi Nijar tamat pukul 7.56 pagi.

Anggota bomba telah menggunakan peralatan penyelamat Hydraulic Rescue Cutter untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak