Rakyat Malaysia yang memiliki semangat patriotisme tulen adalah mereka yang menghormati undang-undang dan Perlembagaan Negara, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata patriotisme juga bermaksud mempunyai keberanian untuk bersuara memberikan cadangan atau pendapat membina terhadap perkara yang perlu diperbaiki dalam masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu seharusnya dilakukan mengikut landasan yang diperuntukkan undang-undang dan cara yang benar.

"Patriotisme bukan sekadar mengibarkan bendera atau berkumpul meraikan Hari Kemerdekaan sahaja, jika akhirnya kita tidak mempunyai rasa hormat kepada Perlembagaan dan undang-undang.

"Rakyat juga perlu berani bersuara dan mempertahankan negara daripada serangan mana-mana pihak jika ada perkara yang dirasakan tidak betul... yang perlu disuarakan kerana sayangkan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Bicara Cendekiawan Mulia anjuran Universiti Malaysia Pahang (UMP) bertajuk 'Malaysia Baharu: Patriotisme Tulen atau Retorik Politik?' di UMP Kampus Gambang di sini, pada Rabu.

Program yang dihadiri 500 penuntut universiti itu dikendalikan pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan UMP, Dr Munira Abdul Razak selaku moderator dan turut menampilkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengajian Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil selaku panel.

Turut hadir ialah Naib Canselor UMP, Prof Dr Ir Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.

Musa juga berkata rakyat Malaysia terutama generasi muda perlu berhati-hati dengan anasir luar yang menghasut masyarakat supaya tidak bersatu dan saling membenci, yang dilihat begitu banyak berlaku dewasa ini.

"Kita tidak mahu sebarang perpecahan kerana ia menghalang negara untuk bergerak ke hadapan. Nasihat saya kepada generasi muda, hayatilah sejarah negara," katanya.

Mohamed Azam Mohamed Adil pula berkata Perlembagaan negara perlu difahami dan dihayati, bagi mengelakkan wujudnya rasa tidak berpuas hati atau suasana tidak tenteram, khususnya dalam hubungan antara kaum di Malaysia.

Beliau berkata kewujudan Perlembagaan negara adalah berteraskan 'tolak ansur' semua kaum di negara ini dan kontrak sosial yang telah dipersetujui, yang seharusnya dapat memelihara perpaduan yang telah wujud sejak sekian lama.

-- BERNAMA