Semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama mesti menghormati Islam kerana ia agama bagi persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, disebabkan itu, masyarakat mesti menghormati segala hukum-hukum Islam walaupun golongan bukan Islam.

"Maka setiap umat di negara ini berpegang kepada perlembagaan, wajiblah menghormati agama itu (Islam). Jadi kalau agama itu melarang membuat pesta arak, tak bolehlah," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas tentang beberapa isu yang mencabar umat Islam sejak akhir-akhir ini antaranya pesta arak Oktoberfest dan menjual makanan berasaskan khinzir secara terbuka dalam sebuah ekspo di Melaka.

Harussani berkata, kerajaan juga perlu faham dan mematuhi perlembagaan negara dengan melarang program yang bertentangan dengannya.

"Kerajaan tidak boleh beri kebenaran, itu melanggar perlembagaan. Mereka kena faham itu. Tidak boleh dibenarkan adanya pesta arak kerana di dalam perlembagaan menyatakan Islam agama persekutuan negara.

"(Kalau kebenaran diberi) sama saja (seperti) dia minum arak, kemudian cakap 'saya tak minum arak' sebab membenarkan (adakan pesta arak) pun sama hukumnya dengan minum.

"Dari segi hukum arak ini, orang yang beli, tolong beli atau tunjukkan kedai, dosanya sama dengan dia minum. Arak ini sebesar-besar maksiat," katanya.

BACA: Oktoberfest bukan pesta arak - Azmin

BACA: Pesta arak di sebuah pusat membeli-belah boleh diteruskan - Datuk Bandar KL


BACA: Tujuh gerai jual daging babi ditutup

Menurutnya, penganjuran pesta yang melibatkan orang ramai dan seolah-olah bersifat satu kempen itu tidak boleh diterima.

"Dia nak minum, dia punya pasal, tetapi (perlu) di rumahnya atau di tempat-tempat tertentu sahaja bagi dia," katanya.