SEMUA pihak menerima dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak mahkamah dalam negara kita. Sudah pasti segala keputusan yang dibuat adalah berdasarkan peruntukkan undang-undang yang telah lama wujud dalam negara kita yang telah dirangka berpandukan Perlembagaan Persekutuan negara. Ini susulan keputusan kes Mahkamah Tinggi baru-baru ini yang melibatkan bekas Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah didapati bersalah atas tujuh pertuduhan yang meliputi salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram. Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan itu selepas selesai membaca penghakimannya selama dua jam. Pertuduhan telah dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, Kanun Keseksaan serta Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Keputusan yang telah dibuat oleh oleh pihak Mahkamah Tinggi terbabit telah mula menerima pelbagai reaksi pelbagai pihak baik dari dalam negara mahupun dari luar negara kerana kes terbabit melibatkan salah seorang individu penting dalam negara kita. Apa-apa jua reaksi yang diberikan, adalah penting bagi semua pihak untuk

bertenang serta menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah bagi terus menjamin kestabilan serta kenyakinan masyarakat terhadap institusi undang-undang serta kehakiman negara. Sudah pasti sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak mahkamah dalam negara kita dibuat berdasarkan bukti-bukti serta keterangan yang telah diberikan dalam tempoh sesuatu perbicaraan yang dibuat. Ini juga disokong dengan segala penghujahan yang telah dilakukan oleh pihak guaman yang pakar dengan bidang masing-masing di dalam sesuatu kes perbicaraan. Kanun Tatacara Jenayah atau Kanun Prosedur Jenayah atau lebih dikenali sebagai Akta 593 adalah suatu peruntukan perundangan yang menjadi panduan utama terutamanya di dalam kes-kes jenayah dalam negara kita untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.

Prosedur perundangan jenayah akan bermula daripada pelaporan sesuatu kejadian jenayah kepada pihak polis, penyiasatan dan proses perbicaraan di mahkamah sehingga pelaku jenayah dihukum dengan setimpalnya diatas perbuatan mereka. Walaupun bilangan kes dihadapkan ke mahkamah semakin hari semakin meningkat namun bukan semua daripada kes-kes ini akan berakhir dengan sabitan. Tertuduh mungkin akan disabitkan dengan kesalahan dan menerima hukuman yang telah ditetapkan oleh undang-undang dalam negara kita. Terdapat juga kes di mana tertuduh akan dilepaskan kerana tidak terdapat bukti-bukti yang cukup, relevan serta menyakin bagi mencapai standard atau tahap pembuktian yang diperlukan di dalam sesebuah kes. Dari segi undang-undang hanya terdapat dua standard atau tahap pembuktian, iaitu melampaui keraguan munasabah untuk kes-kes jenayah manakala ia adalah melampaui imbangan kebarangkalian untuk kes-kes sivil. Sekiranya, pihak yang telah didapati bersalah tidak berpuas hati terhadap keputusan yang telah ditetapkan, undang-undang negara kita juga membenarkan mereka untuk untuk membuat proses rayuan di peringkat mahkamah yang seterusnya. Dalam negara kita, mana-mana pihak yang ingin mengemukakan rayuan boleh merayu ke Mahkamah Rayuan sampai ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi sekali dalam negara kita.

Institusi kehakiman merupakan salah satu institusi yang penting dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi termasuklah Malaysia. Fungsi mahkamah adalah untuk menegakkan keadilan untuk semua pihak. Bagi memastikan sistem kehakiman berjalan dengan baik, institusi mahkamah akan memastikan proses keadilan berjalan dengan saksama berlandaskan undang-undang sedia wujud dalam negara kita tanpa mengira siapa juga yang diadili. Ini penting untuk memastikan kepercayaan orang ramai terhadap kewibawaan mahkamah dalam negara kita sentiasa dipertahankan. Di mana-mana negara yang bertamadun dan mengamalkan sistem demokrasi semua pihak akan sentiasa mengharapkan pihak mahkamah melaksanakan tanggungjawabnya secara bebas dan berkecuali serta yang paling penting tanpa berasa bimbang. Oleh yang demikian, adalah penting untuk semua pihak memberi kepercayaan serta sokongan penuh kepada institusi kehakiman dan yang paling menghormati institusi kehakiman itu sendiri. Sebarang ketidakpuasaan terhadap sesuatu keputusan atau perkara bolehlah disalurkan melalui proses serta peruntukkan undang-undang yang telah ditetapkan dalam negara kita berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan yang telah diikuti semenjak negara kita merdeka pada tahun 1957.



* Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI