Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong hari ini membidas kenyataan oleh portal berita tempatan yang mengatakan beliau membuat keputusan untuk MCA keluar daripada Barisan Nasional (BN) sekiranya UMNO melaksanakan undang-undang hudud di negara ini.

Menurut Ka Siong, beliau tidak menyebut MCA akan ‘keluar Barisan Nasional’ jika UMNO bersetuju melaksanakan undang-undang hudud, tetapi kenyataan beliau telah disalah anggap.

Katanya, kenyataan yang diputar belit itu bertujuan untuk mengeruhkan hubungan baik di antara parti komponen BN.

“Pendirian MCA terhadap undang-undang hudud tidak pernah berubah. Oleh itu, pihak Portal Majlis Ahli Parlimen BN (BNBBC) sepatutnya menghormati bahawa setiap komponen parti BN mempunyai hak sama rata dan setiap parti mempunyai hak untuk menyatakan pendirian masing-masing, sejajar dengan prinsip demokrasi,” kata Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.

Ka Siong dipetik berkata MCA akan keluar daripada BN oleh portal berita BNBBC semasa menjadi panel dalam Wacana Sinar Harian bertajuk “Hudud: Bersediakah Kita?” pada Rabu.

“Ia amat menyedihkan kerana mereka BNBBC memilih untuk mengkritik MCA, padahal mereka sepatutnya bertanya, atas dasar apa MCA memilih untuk menolak pelaksanaan undang-undang hudud ini?

“Walaupun berbeza pendapat, kami masih bersama dalam keluarga BN, dan demi kepentingan negara, kita masih boleh bekerjasama dan berunding,” tambah Ka Siong.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut menambah bahawa setiap parti komponen BN mewakili komuniti masing-masing dan mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengundi bukan Islam tahap keseriusan situasi ini jika PAS berjaya melaksanakan undang-undang hudud di Malaysia.

“Walaupun MCA dan UMNO tidak sependapat tentang isu ini, tetapi dalam keluarga BN, kami beroperasi mengikut persetujuan bersama. Kami akan adakan rundingan terlebih dahulu sebelum mencapai keputusan kolektif dan ini sejajar dengan prinsip tanggungjawab bersama.

“Oleh itu, kami percaya UMNO akan menghormati kedudukan serta pendirian yang diambil oleh setiap parti komponen BN,” tambah Ka Siong.

Sebelum ini, BNBBC dalam artikelnya bertajuk ‘Tidak perlu MCA turut melalak macam DAP tentang hudud’ menyelar MCA kerana Ka Siong dikatakan mahu mengkaji kedudukan parti itu dalam BN serta mengancam untuk keluar daripada BN jika rang undang-undang persendirian itu dibawa ke Parlimen.