SUDAH sampai masanya kita mengambil satu langkah baru bagi memastikan setiap janji manifesto yang dibuat dalam proses pilihan raya dalam negara kita dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan dipenuhi tanpa adanya sebarang alasan murah dan tidak munasabah.

Peribahasa Melayu pun ada menyebut "Kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya (janjinya)” yang bermaksud, janji hendaklah ditepati dan ditunaikan.

Mana-mana ahli atau parti politik yang membuat janji-janji melalui manifesto pilihan raya perlu menanggung segala risiko serta bertanggungjawab terhadap semua janji manis yang telah dibuat oleh mereka di dalam manifesto pilihan raya tanpa memberi sebarang alasan.

Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat di dalam manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa kerajaan.

Tindakan untuk tidak memenuhi atau menepati segala janji yang telah dibuat di dalam manifesto juga menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat mereka terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan dan memberi undi kepada ahli dan parti politik yang telah membuat pelbagai jenis janji dalam manifesto pilihan raya mereka.

Manifesto pilihan raya adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli atau parti politik yang membuat manifesto terbabit menang dalam proses pilihan raya.

Manifesto plihan raya selalunya dibuat setiap kali adanya tibanya musim pilihan raya.

Dengan adanya manifesto pilihan raya ini, rakyat secara keseluruhannya akan mudah untuk memahami segala rancangan yang bakal dilakukan sekiranya ahli atau parti politik yang membuat manifesto ini sekiranya mereka menang pilihan raya kelak.

Terdapat pelbagai jenis janji di dalam manifesto pilihan raya ini.

Kesemua janji ini ini selalunya dilihat sebagai “janji manis” sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutamanya hati pengundi.

Antara janji yang sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat, janji memperbaiki ekonomi, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk meningkatkan tahap serta peluang pendidikan, janji untuk membangunkan pengangkutan awam dan macam-macam jenis janji lagi.

Pengundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli atau parti politik yang menawarkan janji yang baik melalui manisfesto mereka.

Namun amat sedih untuk diketahui, status sesebuah manifesto hanyalah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang.

Ini bermakna, ahli atau parti politik yang membuat manisfesto ini tidak perlu menunaikan janji yang telah dibuat setelah mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara.

Jika kita masih ingat pada tahun 2013 yang lalu, pihak Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.

Di dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Dengan mengambil kira keadaan semasa kini, kita perlu melakukan proses penambahbaikan bagi melindungi rakyat kita khususnya para pengundi daripada menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab sewaktu tibanya musim pilihan raya.

Pihak mahkamah diminta melihat semula status undang-undang yang diberikan terhadap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik.

Setiap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli atau parti politik perlu diikat dengan undang-undang supaya tindakkan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana ahli atau parti politik yang tidak memenuhi atau melangari janji manifesto mereka.

Pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) juga disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam perkara ini.

Pihak SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini.

Sekiranya manifesto pilihan raya diikat dengan kuasa undang-undang, setiap ahli serta parti politik akan lebih mengambil serius terhadap manifesto pilihan raya mereka serta akan menyediakan sebuah manifesto pilihan raya yang lebih realistik serta yang berdasarkan fakta yang sahih di masa akan datang.

Pada masa yang sama, hak dan kepentingan setiap pengundi dalam negara kita juga dapat dilindungi.


* Dr Muzaffar Syah Mallow ialah seorang Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.