Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan mana-mana individu supaya menghormati sensitiviti negara sebelum mengeluarkan kenyataan secara terbuka.

Beliau berkata walaupun Malaysia mengamalkan konsep kebebasan bersuara, namun ada sesetengah perkara yang perlu ditapis demi memastikan keamanan negara sedia ada sentiasa terpelihara.

"Kita perlu jaga tutur kata, hormati tatasusila dan juga institusi Raja Berperlembagaan," katanya pada sidang media selepas menghadiri program Iftar@Kuala Lumpur 2018 di Dataran Merdeka di sini, malam ini.

Beliau diminta mengulas peletakan jawatan Datuk A Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan berkuat kuasa serta merta.

A Kadir dilaporkan berkata beliau membuat keputusan itu demi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat berkaitan peranannya dalam Majlis tersebut serta pandangan beliau dalam blog dan kolum mingguan di akhbar Sinar Harian.

Kira-kira 10,000 orang memeriahkan Program Iftar@KL itu yang dianjurkan buat kali ketujuh oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara bersama-sama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dr Wan Azizah turut mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam dan menasihati mereka supaya sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya semasa memandu.

-- BERNAMA