Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberitahu bahawa tiada lagi pesakit COVID-19 sedang dirawat di hospital-hospital di seluruh negeri itu.

Menurut Ahmad Faizal, perkara tersebut dimaklumkan kepadanya oleh Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming hari ini.

“Hospital-hospital seluruh negeri Perak adalah zero (sifar) pesakit COVID-19, Alhamdulillah,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan sumbangan COVID-19 kepada kerajaan negeri di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan rakyat bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih belum berakhir.

“PKP masih ada, yang kerajaan umumkan adalah boleh naik kereta dua orang, itupun untuk alasan yang benar-benar munasabah, nak beli barang dan sebagainya.

“Perintah Kawalan Pergerakan masih berkuatkuasa, jika perlu keluar bersama dengan isteri atau berdua, dalam kenderaan, tetap penjarakan sosial itu mesti diamalkan dan sentiasa membersihkan tangan dengan betul.

“Itu saya fikir itu satu budaya baru yang kita perlu amalkan selama-lamanya,” ujarnya.


Untuk rekod, Perak mencatatkan keseluruhan 252 kes jangkitan positif COVID-19 dan enam daripada mereka meninggal dunia.


Difahamkan pesakit terakhir seorang lelaki, telah dibenarkan pulang daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun, semalam.