Hospital Padang Besar dibina tahun depan - Dr Subramaniam

Hospital Padang Besar dibina tahun depan - Dr Subramaniam
SUBRAMANIAM: Projek ini bukan janji PRU14 kerana telah dilulus dan pasti dilaksanakan. - Gambar fail
KANGAR: Kerajaan meluluskan pembinaan Hospital Daerah Padang Besar bernilai lebih RM300 juta yang akan dilaksanakan selewat-lewatnya akhir tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata peruntukan untuk projek itu sudah disediakan, manakala tender telah dikeluarkan dan pemilihan kontraktor dijangka selesai awal tahun depan.

"Projek ini bukan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kerana telah dilulus dan pasti dilaksanakan," katanya.

Dr Subramaniam yang juga Presiden MIC, ditemui pada Rumah Terbuka Deepavali peringkat Perlis di Dewan Warisan di sini, Selasa malam. Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Pembinaan hospital tersebut dirancang dibina dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), namun tertunda sehingga menjadi isu dan beberapa kali dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

Bernama difahamkan hospital itu menjadi keperluan untuk menyokong pembangunan Kawasan Industri Lembah Chuping sebagai kawasan industri teknologi hijau dalam RMK-11.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Dr Subramaniam melahirkan rasa gembira kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberi perhatian dan memastikan kebajikan masyarakat India di Perlis, terjaga.

"Walaupun ahli kita (MIC) hanya kira-kira 6,000 orang, sokongan kami terhadap BN mencapai 85 peratus. Ini petanda baik untuk BN mempertahankan ketiga-tiga kerusi Parlimen di Perlis iaitu Kangar, Padang Besar dan Arau," katanya.

Dalam pada itu, Azlan berkata sokongan anggota MIC akan memperkukuhkan BN dan berharap kerusi DUN Indera Kayangan dan Sanglang yang dimenangi pembangkang pada PRU13, dapat dirampas kembali untuk merekodkan kemenangan 100 peratus BN pada PRU14 akan datang.

-- BERNAMA