Hospital Pakar Kuala Terengganu, (KTS) bakal berwajah baru dan dijangka mula beroperasi secara berperingkat mulai Oktober tahun ini.

Dimiliki anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad, KTS dibina di Batu Burok, di kawasan seluas 34,000 meter persegi yang menelan belanja kira-kira RM184 juta.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, pembinaan hospital baharu lapan tingkat ini bagi menggantikan hospital KTS lama di Jalan Kamaruddin, Kuala Terengganu.

Katanya, dengan adanya hospital pakar yang dilengkapi peralatan moden dan canggih, rakyat Terengganu tidak perlu lagi mendapatkan rawatan pakar di luar, sekaligus mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Kita hanya akan beroperasi dahulu dengan 60 katil dan pada 2017 akan meningkat kepada 90 dan kita jangka 2018, hospital berkenaan akan dilengkapi dengan 130 katil.

"Bagi jumlah kakitangan, apabila beroperasi sepenuhnya, kita jangka 400 orang sebagai keperluan kakitangan kita," tambahnya ketika ditemui selepas melawat Hospital berkenaan di Kuala Terengganu.

Antara kemudahan yang disediakan ialah 130 katil pesakit, lima dewan bedah, lima bilik bersalin dan satu makmal ujikaji.

Ia turut dilengkapi unit rawatan rapi dengan 12 katil serta unit rawatan rapi untuk bayi dengan 19 katil serta 25 klinik.

Selain di Kuala Terengganu, TDM Berhad memiliki tiga lagi hospital iaitu Kuantan Medical Centre (KMC) di Pahang, Kelana Jaya Medical Centre (KJMC) dan Taman Desa Medical Centre (TDMC) di Lembah Klang.