Kementerian Pendidikan akan memperkasakan Hospital Pengajar Universiti (HPU) di seluruh negara bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik termasuk melahirkan lebih ramai pakar perubatan berkelas dunia.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, HPU yang menyediakan latihan klinikal, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan, mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan rakyat menerima perkhidmatan perubatan yang baik.

"Berdasarkan lawatan saya ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini (semalam), Kementerian Pendidikan sedang melihat beberapa aspek bagi membolehkan rakyat semua lapisan masyarakat menerima perkhidmatan terbaik daripada HPU," kata beliau yang mengadakan lawatan ke PPUM di Petaling Jaya, semalam.

Beliau mengadakan lawatan ke PPUM sejurus selepas menjawab soalan Parlimen yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Mohamed Fadzil berkaitan dengan PPUM.

Dr Maszlee meluangkan masa lebih dua jam untuk melihat sendiri operasi PPUM, salah satu daripada empat HPU di Malaysia. Tiga HPU yang lain PPUKM, Hospital Universiti Sains Malaysia dan PPUIAM.

Fungsi utama HPU menjadikan mereka berbeza berbanding hospital-hospital kerajaan yang lain di bawah Kementerian Kesihatan.

Menteri Pendidikan berkata, beliau berpuas hati dengan kemudahan dan kualiti perkhidmatan yang disediakan PPUM, termasuk kemudahan paramedik bermotor yang diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat.

"Saya tertarik dengan kepakaran dan kemudahan yang ada di PPUM. Selepas ini saya akan melawat HPU yang lain di seluruh negara bagi mendapatkan gambaran luas, dan kami akan melihat cara untuk terus meningkatkan kedudukan HPU dalam membangunkan pakar-pakar dan menyediakan perkhidmatan kesihatan," kata beliau lagi.

Mengenai PPUM, Dr Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan turut menggariskan beberapa strategi dalam memantapkan kedudukan kewangan hospital pengajar bagi mengurangkan penggantungan kepada sumber kerajaan.

"Salah satu strategi yang diperkenalkan adalah menggalakkan hospital pengajar untuk memperkukuhkan kewangan sendiri dengan mempelbagaikan sumber pendapatan dalaman tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan sedia ada di samping mengoptimumkan perbelanjaan operasi dan penambahbaikan proses kerja," kata beliau.

Bagi tahun 2018 kerajaan memperuntukkan sebanyak RM400 juta bagi membiayai perbelanjaan mengurus PPUM berbanding RM412 juta pada tahun sebelumnya.

Kata beliau, walaupun dalam keadaan pengurangan dana awam, PPUM mampu menjana sumber pendapatan tambahan dan terus memberi perkhidmatan kepada bilangan pesakit yang dijangka akan meningkat sebanyak tiga peratus pada tahun ini berbanding tahun 2017.

Katanya, pada masa yang sama PPUM juga tetap memberikan khidmat komuniti kepada golongan miskin bandar khususnya di kawasan Lembah Pantai.

"Di antaranya menjalankan Program CSR (tanggungjawab sosial korporat) bersama komuniti Lembah Pantai termasuk program derma darah, khidmat rawatan susulan, program kesedaran mengenai kepentingan kesihatan khususnya tahap kesihatan mental dan rawatan seperti diabetis, tibi, denggi dan kawalan jangkitan penyakit.

"PPUM juga sedang merancang untuk mewujudkan sistem rawatan satelit untuk memudahkan pesakit golongan berpendapatan rendah mendapat rawatan di komuniti tanpa perlu ke PPUM," kata beliau.

Buat permulaan kawasan yang dikenal pasti untuk menerima kemudahan itu adalah komuniti di Lembah Pantai dan Taman Medan.

"Inisiatif ini akan dimulakan pada tahun 2019," kata beliau.

Taklimat kepada Dr Maszlee diberikan oleh Naib Canselor UM, Datuk Ir Dr Abdul Rahim Hashim dan Pengarah PPUM, YM Prof. Dr. Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.