Hospital Permai di sini sedia menerima lebih ramai pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk ditempatkan di hospital berkenaan.

Pengarahnya, Dr Abdul Kadir Abu Bakar berkata pada masa ini, seramai 40 pesakit daripada HSA telah ditempatkan di hospital berkenaan sejak kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA pada Selasa lepas.

"Kesemua pesakit berada dalam keadaan baik dan menerima rawatan rutin seperti yang mereka terima di HSA," katanya kepada Bernama di sini, Jumaat.

Pesakit berkenaan merupakan sebahagian daripada 477 pesakit HSA yang dipindahkan ke hospital-hospital di sekitar Johor Bahru susulan penutupan sementara bangunan induk HSA.

Menurut Dr Abdul Kadir, kesemua pesakit HSA itu ditempatkan di dua wad iaitu Lavendar A dan Lavendar B di hospital berkenaan.

Kebanyakan mereka adalah pesakit dari Wad Urologi HSA iaitu pesakit yang mempunyai masalah seperti batu karang dan kelenjar prostat serta Wad Bedah iaitu pesakit yang memerlukan penjagaan sebelum dan selepas pembedahan.

Hospital Permai terletak di Persiaran Kempas Baru, iaitu kira-kira 15 minit dari HSA, tertumpu kepada rawatan komuniti dan rehabilisasi.

Kebakaran pada Selasa lepas mengorbankan enam nyawa pesakit di wad ICU maut manakala seorang lagi pesakit berjaya diselamatkan. Insiden itu juga menyebabkan dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi cedera. -- BERNAMA