Semua hospital, sekolah dan agensi termasuk dari kerajaan Persekutuan yang mempunyai kakitangan bekerja syif diseru untuk memohon dana bernilai RM30 juta yang diperuntukkan tahun ini bagi mewujudkan 150 taska di kawasan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia penambahan tiga kali ganda berbanding 64 taska dengan peruntukan RM10 juta, pada 2019.

"Semestinya penubuhan taska di tempat kerja masing-masing akan dapat memudahkan urusan keluarga dan pekerja di setiap agensi.

"Permohonan boleh dikemukakan di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berdekatan atau boleh hubungi kami untuk sebarang maklumat lanjut.

"Saya menggesa agar sektor swasta juga dapat menyediakan insentif dalam penyediaan penjagaan kanak-kanak bagi pekerja mereka," katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Taska Parlimen di sini, pada Jumaat.

BACA: Diskaun 20 peratus bil elektrik untuk taska di Semenanjung Malaysia

BACA:
Pengusaha taska boleh tolak kehadiran kanak-kanak ada masalah kesihatan

Bangunan taska dua tingkat itu mempunyai antaranya ruang aktiviti, bilik penjagaan bayi, bilik belajar, ruang makan, ruang penyediaan makanan, bilik sumber dan bilik pengasuh.

Matlamat penubuhan Taska Parlimen itu untuk menyediakan kemudahan Taska yang memenuhi keperluan fizikal kanak-kanak berumur enam bulan sehingga lima tahun dan mengikut konsep mesra kanak-kanak yang dianggarkan seramai 50 orang.

Ia dikhususkan bagi kegunaan Ahli-ahli Parlimen, pengamal media, pegawai dan kakitangan Parlimen, pegawai kementerian dan pelawat-pelawat yang menghadiri persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Dalam pada itu kata Wan Azizah, diskaun bil elektrik sebanyak 20 peratus turut diberikan kepada taska-taska yang layak di Semenanjung.

Taska berkenaan mestilah berdaftar dengan JKM bagi tempoh bermula 1 November 2019 sehingga 31 Disember 2020 dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).