Pengusaha hotel kini mesti mempamerkan kadar Cukai Pelancongan yang berasingan daripada kadar bilik berikutan pelaksanaan Cukai Pelancongan berkuat kuasa hari ini.

Setiausaha Agung Kehomat Persatuan Hotel Malaysia (Bahagian Sarawak) John Teo Peng Yew berkata ia adalah antara prosedur baharu yang perlu dipatuhi pengusaha hotel susulan pertemuan dengan Kementerian Kewangan dan Kastam Diraja Malaysia baru-baru.

"Tiada pengecualian bagi tinggal lama, penginapan percuma misalnya menerusi kongsi masa atau program kesetiaan, dan cukai ini tidak dikenakan GST," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berkuat kuasa hari ini, pelancong asing yang tinggal di hotel dan resort di Malaysia akan dikenakan bayaran purata RM10 sebilik semalam.

Mengenai pengecualian, beliau berkata pengecualian cukai pelancongan adalah bagi penduduk tempatan dan penduduk tetap Malaysia yang menginap di hotel dan resort di negara ini.

Beliau berkata penduduk tetap mesti mempunyai kad MyPR untuk melayakkan mereka menikmati pengecualian itu. Sebagai tambahan, beliau berkata cukai itu tidak terpakai kepada daftar masuk awal atau perlanjutan daftar keluar.

"Cukai Pelancongan hanya terpakai kepada semua warga asing yang menginap di hotel dan resort di Malaysia," katanya.

Beliau berkata setiap hotel perlu membelanjakan sekitar RM5,000 untuk mengemas kini sistem akaun hanya untuk memasukkan satu lagi ruang bayaran cukai dalam sistem berkenaan.

Justeru, katanya, kos pelaksanaan, penggantian dan penambaikan sistem itu akan dikecualikan daripada cukai dan tiada sebarang subsidi tambahan.

Bagi pengecualian kadar sewa kontrak, katanya, pengecualian hanya menerusi permohonan sahaja, sehingga 31 Mac 2018 dan permohonan boleh dikemukakan kepada [email protected]

-- BERNAMA