Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan enam hasrat utama penyatuan Pas dan UMNO menerusi piagam yang dipersetuji bersama.

Selain akidah, keimanan dan keikhlasan, Zahid juga mahu penyatuan itu kekal selamanya selain elak pergeseran sesama mereka.

"Demi kelangsungan piagam ini, pertelingkahan hendaklah dielakkan. Kita tidak harus bersaing sesama sendiri. Sejarah membuktikan, pergeseran seringkali berakhir dengan kemusnahan.

"Tragedi Andalusia, Istanbul dan hancurnya Empayar Melayu-Islam Melaka menceritakan segala-galanya. Perpecahan ummah mendatangkan mudarat besar. Insaflah! Jangan kita mengulangi kesilapan masa lampau.

"Permuafakatan ini adalah formula terbaik ke arah tawaran baharu atau new deal mewujudkan sebuah negara yang aman sejahtera untuk generasi akan datang.

"Ia perlu dipertahankan demi menjamin kelangsungan masa depan mereka," ujarnya ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini pada Sabtu.

Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani oleh parti Pas dan UMNO pada Sabtu.
Tambah beliau, HPU bukan semata-mata agenda politik, sebaliknya penyatuan ummah itu hendaklah berpandukan kepada akidah dan keikhlasan.

Beliau pada masa sama turut memberi jaminan permuafakatan dan perpaduan negara akan kekal dengan menjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Sesungguhnya, permuafakatan ini, menjaga dan menjamin hak semua kaum dan bangsa. Sejarah telah membuktikan, selama memerintah, kita menjunjung Perlembagaan dan kontrak sosial yang dibentuk oleh pengasas kemerdekaan negara.

"Kita tidak pernah merampas hak sesiapa. Negara pasti aman sejahtera jika semua pihak mendokong keluhuran Perlembagaan dan menghormati Kedaulatan Undang-Undang," katanya.

Menurut Ahmad Zahid. pemangkin kejayaan permuafakatan itu juga bergantung pada anak-anak muda, selain peranan kaum wanita dan muslimat sebagai pendorong dalam melaksanakan misi tersebut.

"Pastikanlah perjuangan ini berterusan dan tidak terputus di tengah jalan. Penyatuan ummah ini, hendaklah dipupuk, disubur dan dipertahankan untuk selama-lamanya," katanya.

BACA: Pas-UMNO: Tak perlu risau, titik persamaan menyatukan kami - Hadi Awang


BACA: PRU15 milik UMNO-Pas kalau betul 'gaul resepinya' - Tok Mat