Laporan hasil pertemuan dan perbincangan antara Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan wakil kerajaan Singapura mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), dijangka dibentangkan kepada kabinet minggu hadapan,

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata sehingga kini beliau belum dimaklumkan lagi mengenai sebarang hasil pertemuan berkenaan sebaliknya hanya menunggu mesyuarat kabinet akan datang.

"Saya difahamkan Azmin berjumpa pihak wakil kerajaan Singapura untuk bincang isu HSR tengah hari tadi tetapi saya masih belum terima apa-apa maklum balas lagi daripada beliau.

Tetapi saya yakin perbincangan ini adalah berkenaan hala tuju, bagaimana untuk selesaikan isu ini dan yang berkaitan... beliau akan bentangkan kepada kabinet minggu hadapan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program 'Kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 KRT Taman Pulai Impian di sini, hari ini.

Katanya sama ada projek HSR ini akan diteruskan atau tidak, perkara tersebut belum ada sebarang keputusan lagi.

Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura yang dicadangkan Malaysia pada 2013 adalah projek kereta api berkelajuan tinggi antara Singapura dan Kuala Lumpur yang mampu memendekkan tempoh perjalanan sehingga 90 minit.

Bagaimanapun, projek terbabit tertangguh selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 9 Mei lepas.

Mengenai Majlis Penasihat Sektor Perkapalan, Loke berkata struktur majlis penasihat pakar untuk memantau perkara berkaitan perkapalan dan pelabuhan itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Katanya, majlis tersebut lebih kepada rundingan antara mereka yang pakar dalam sektor perkapalan dan pelabuhan bagi memastikan dasar yang dilaksanakan kerajaan dapat memajukan sektor maritim negara.

"Malaysia merupakan sebuah negara maritim kerana kita berada di lokasi yang paling strategik, berada di tengah-tengah Selat Melaka, laluan perkapalan yang terpenting di dunia, jadi kita mesti mengambil peluang untuk memastikan negara kita terus mendapat manfaat daripada sektor perkapalan dan sektor maritim ini.

Kita sedang memuktamadkan struktur majlis tersebut dan akan melantik wakil daripada sektor swasta, wakil-wakil kerajaan negeri, syarikat perkapalan, pelabuhan dan kita akan kumpulkan semuanya, bagi sama-sama membincangkan hala tuju dan apa yang perlu dibuat oleh pihak kementerian untuk membantu memajukan sektor maritim ini,"katanya.

--BERNAMA