Hubungan Malaysia dan Qatar tidak terjejas walaupun berlaku krisis antara negara itu dan negara Liga Arab ketika ini.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia sentiasa berdiri atas prinsip kerjasama dengan negara-negara Islam yang telah terjalin sekian lama.

Malah kata beliau, lawatan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani ke negara ini tidak menjejaskan hubungan istimewa Malaysia dengan Arab Saudi.

"Kita akan terus mengekalkan hubungan pada tahap yang terbaik dengan Qatar terutama berkaitan ekonomi.

"Kita mengamalkan prinsip wasatiyah selain mahu penyelesaian kepada krisis antara Qatar dan negara Liga Arab dicapai tanpa perlu Malaysia untuk campur tangan.

"Saya kira Kerajaan Arab Saudi memahami pendirian Malaysia dan lawatan ini juga tidak menimbulkan apa-apa masalah," katanya dalam sidang media selepas menerima lawatan Emir Qatar di Seri Perdana, di sini hari ini.

Bagaimanapun Najib berkata, Malaysia tidak mempunyai kapasiti untuk berperanan sebagai 'orang tengah' tetapi bersedia memainkan peranan positif dalam menyelesaikan konflik tersebut.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin negara itu mengadakan pertemuan empat mata yang turut membincangkan isu pelaburan, ekonomi dan usaha mengekang keganasan.

Krisis di negara teluk bermula apabila empat negara iaitu Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain yang diketuai Arab Saudi memutuskan hubungan laut, darat dan udara dengan Qatar pada Jun lepas.

Negara berkenaan mendakwa Qatar menyokong keganasan selain mengganggu hal ehwal dalaman negara lain dan berusaha menjalinkan hubungan baik dengan Iran yang merupakan seteru Arab Saudi.

Qatar bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menolak senarai 13 tuntutan dikemukakan blok Arab sebagai syarat untuk meneruskan kembali hubungan diplomatik.