Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai agar menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah jika sangsi dengan kehadiran warga kementerian itu ke kediaman mereka.

Pada masa sama, warga KKM juga perlu mematuhi garis panduan semasa menghadiri rumah penghuni atau pesakit bagi mengelak sebarang laporan yang tidak sahih mengenai kementerian itu.

Justeru katanya, kerjasama kedua-dua pihak penting dalam memastikan tiada isu berbangkit berlaku.

"Kita memerlukan kerjasama dua pihak iaitu pertama penghuni. Kalau penghuni syak atau tidak pasti ada pegawai itu, boleh hubungi KKM daerah atau polis.

"Namun warga KKM juga perlu memakai pakaian yang telah ditentukan dan membawa kad kuasa. Ini yang kita galakkan mengikut peraturan di KKM. Namun kalau ada ketidakpastian sila hubungi pejabat kesihatan daerah. Sepatutnya kita kena hubungi mereka dan kita dapat kepastian," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

Beliau mengulas laporan yang tular di media sosial yang mendakwa kehadiran sebuah van dengan pelekat KKM di rumah penduduk kononnya melakukan jenayah.

Bagaimanapun katanya, isu berkenaan sudah selesai dan laporan polis telah dibuat, yang mengatakan lelaki dalam van berkenaan adalah warga KKM.

"Namun kes sudah selesai. Laporan sudah dibuat. Kita sendiri tidak pasti sama ada kenyataan di Facebook itu, namun apa yang penting siasatan sudah dibuat. Siasatan mendapati memang itu warga KKM. Mungkin kita boleh perbaiki dua pihak itu, boleh hubungi KKM dulu," ujarnya.