Kebimbangan mungkin berlaku berikutan musim monsun timur laut atau musim tengkujuh yang sekali gus mengakibatkan hujan berterusan melanda negara ini untuk tempoh lima hari berturut-turut bermula hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Alui Bahari menegaskan ia merupakan perkara biasa pada musim tengkujuh di mana hujan lebat turun berterusan untuk tempoh tiga hingga lima hari, terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung.

Alui turut berkata hujan lebat episod pertama bakal melanda pada 30 Oktober sehingga 1 November 2018 di Kelantan dan Terengganu.

“Musim tengkujuh telah bermula hari ini. Angin bertiup secara signifikan pada arah Laut China Selatan dan dalam tempoh ini, dari hari ini sehingga bulan Januari pada lazimnya adalah tempoh lembap bagi musim tengkujuh.

“Episod hujan lebat bermaksud ia bermula pada hari ini sehingga ke bulan Januari 2019. Kita jangkakan terdapat empat hingga enam kejadian hujan lebat yang berterusan selama tiga atau lima hari.

“Lazimnya, kita akan keluarkan amaran tentang kejadian hujan lebat berterusan ini dengan peringkat waspada dahulu, sekiranya kita menjangkakan hujan lebat akan berlaku untuk 3 hari ke hadapan. Seterusnya, sekiranya keadaan hujan lebat ini dijangkakan berterusan, kita akan naik taraf amaran kita kepada amaran cuaca buruk. Jika bertambah lebat, kita akan naik taraf ke amaran cuaca bahaya,” jelasnya.

Tambahnya, aktiviti pantai adalah tidak digalakkan memandangkan ia amat bahaya kerana ombak boleh mencapai ketinggian melebihi 3.5 meter bersekali dengan angin kencang.