HUKUM alam adalah tanda kebesaran Tuhan. Kita diingatkan berulangkali bahawa pada setiap kejadian alam itu ada kesannya untuk menghasilkan sesuatu perubahan struktural.

Perubahan tidak berlaku tanpa kejadian yang membawa impak besar seperti gempa bumi atau dentuman astroid yang jatuh ke bumi mahupun letupan gergasi (big bang) yang membentuk bumi kita hari ini.

Ekoran daripada peristiwa gegaran, dentuman serta letupan gergasi adalah untuk membuka ruang baru kehidupan dan supaya yang bernyawa dan hidup menyesuaikan diri untuk kekal menyambung kehidupan dan seterusnya berada dalam kitaran kehidupan dengan senantiasa berubah bentuknya demi untuk kesinambungan kehidupan selanjutnya.

Yang gagal akan dihukum menjadi mangsa pupus selamanya.

Landskap Politik

Perkataan landskap membawa makna bahawa politik juga tertakluk kepada hukum alam yang berubah-ubah hasil dentuman dan gegaran politik yang kemudiannya mendesak satu bentuk baru supaya kesinambungan kehidupan politik dapat diteruskan.

Seperti hukum alam, kelihatannya kejam apabila yang gagal berubah akan terpupus dihukum pasca gegaran dan dentuman politik yang maha dasyat.

Parti politik perlu menjangkakan dentuman ini dan tidak boleh berasa selesa seperti gerombolan dinosur yang berbangga dengan kehebatan fizikalnya tetapi kemudian dihukum dengan pupus kerana gagal mengadaptasi landskap baru pasca dentuman.

Parti politik yang berwaspada ialah mereka yang bersiap sedia pada kemunculan landskap baru dan kemudian kekal bertenaga mengharungi gegaran dan memimpin pasca gegarannya.


Awas Dentuman Kuat

Malaysia akan mengalami dentuman kuat politik bukan gara-gara kebijaksanaan strategi parti politik tetapi angkara desakan rakyat yang mahukan negara ini dengan aspirasi baharu, cara berfikir yang baru dan kepimpinan negara yang baru. Suasana sekeliling telah merubah cara mereka menilai isu negara melalui maklumat yang tidak boleh dikawal.

Patriotisme bukan lagi mentera ahli politik untuk memukau rakyat kerana patriotisme sekarang ialah tentang kehidupan yang selesa dan kebajikan yang kelompok marhaen lewat kerajaan yang bertanggungjawab.

Ini bukan soal tak sayangkan negara tetapi kebobrokan regim yang fasad pemerintahannya. Semasa dentuman ini berlaku di mana parti-parti politik? Adakah mereka dalam khayalan selesa mereka yang akan tersentak dan kemudian pupus? Ataukah parti politik menyediakan dirinya untuk menyambut dentuman ini dengan bersiap sedia kemungkinan-kemungkinan yang panjang trauma pasca efeknya lalu memimpin lanskap baru?


PAS dan ‘Al Marhum’ Pakatan Rakyat

Al Marhum adalah bagi manusia yang telah pergi, kepada pakatan politik ‘Al Marhum’ adalah ungkapan tamatnya sesuatu inisiatif kesepakatan politik namun berbeza dari manusia, ‘Al Marhum’ ini akan ‘hidup kembali’ mencari bentuknya yang sesuai dengan gegaran-gegaran kecil yang berlaku agar kesepakatan politik menjadi lebih segar dan matang.

Ketegasan PAS yang sukar menerima pemergian ‘Al Marhum’ Pakatan Rakyat walhal PAS juga yang memutuskan salah satu talian nyawa dalam Pakatan Rakyat dikhuatiri meratap sesuatu yang sudah tidak relefan.

Menyelamatkan ‘Al Marhum’ Pakatan Rakyat ialah dengan membentuk semula Pakatan Rakyat Baru dengan ‘nyawa baru’ tangkas mendepani zamannya untuk menyahut kesan gegaran besar yang akan berlaku.

Mencari ‘nyawa baru’ ialah dengan pengolahan baru kepada suasana landskap politik yang bakal muncul, ide baru, gagasan baru dan kepimpinan yang baru.

Para aktor politik harus menyelami hasrat rakyat bukan memaksa kehendak parti ke atas rakyat. Parti yang mendakwa kesuciannya dan ada tongkat ajaib adalah parti yang masih bermimpi tanpa menyedari ia bakal menjadi sang dinosur yang pupus walaupun satu ketika dahulu amat digeruni.


Wadah baru?

Spekulasi wadah baru menjadi perbualan setelah beberapa anggota yang tegar membela ‘Al Marhum’ Pakatan Rakyat dalam PAS dinyahkan begitu rupa. Kita masih lagi tertumpu kepada konsep ‘serpihan’ terhadap konsep wadah baru walaupun gambaran yang lebih besarnya ialah untuk bersiap sedia menerima dentuman besar yang menuntut perubahan lanskap.

Ia sebenarnya bukanlah baru tetapi satu bentuk yang lebih segar dan tangkas menghadapi desakan perubahan dan mengisi lompong dalam lautan biru yang maha luas.

Pembersihan kelompok progresif dalam muktamar PAS baru ini adalah peluang tercipta untuk lonjakan baru bagi meneroka lanskap baru bersama kesepakatan baru. Ia wadah untuk harapan baru yang termuncul dalam kekecewaan. Wadah baru bukan untuk kelompok yang dihapuskan tetapi untuk suara rakyat yang menuntut kesejajaran setelah gegaran.

Hubaya, hubaya…hukum alam juga terpakai dalam alam politik.

______________________________________________________________________
*Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar.
****Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.