"Kita bakar satu besi panas dan cucuk kepada dia," itu pandangan yang dilontarkan Ahmad Lai Bujang (BN-Sibuti) berkenaan cadangan hukuman terhadap pelaku sumbang mahram.

Katanya, hukuman sebegitu akan menyebabkan si pelaku sumbang mahram lebih insaf selain merasai kesan yang sama terhadap mangsa.

"Kalau boleh, Yang Di Pertua, saya mencadangkan lelaki yang mengerjakan ini, kita bakar satu besi panas dan cucuk kepada dia, supaya dia berasa bagaimana sedihnya perasaan orang yang terkena perkara begini," katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai soalan tambahan kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, semasa sesi soal jawab lisan.

Azizah bagaimanapun hanya tersenyum dan tidak memberi sebarang jawapan balas terhadap cadangan tersebut.

BACA: Bapa saudara lakukan amang seksual dan rogol anak buah sendiri terima padah

Ahmad sebelum itu berkata, hukuman seperti yang dicadangkannya perlu dijalankan kerana mangsa dan keluarga mereka akan merasa tertekan dengan tindakan pelaku sumbang mahram.

"Apabila kanak-kanak ini dicabul oleh bapa, bapa saudara, keseluruhan keluarga dia tertekan dan begitu juga adik beradik mangsa akan ditekan.

"Bagaimana kita nak menghindarkan dendam keluarga kepada pemangsa yang buat perkara tidak senonoh kepada anak saudara dia kerana kita tahu dendam tidak akan terhakis," katanya.

BACA: Bapa segala serakah, liwat anak sendiri sewaktu umrah di Mekah