Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran mengambil langkah meminda Akta Pilihan Raya 1958 untuk mengenakan hukuman lebih berat ke atas mana-mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan semata-mata bagi memberi laluan kepada satu pilihan raya kecil.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata peruntukan sedia ada yang menetapkan wakil rakyat berkenaan hilang kelayakan untuk jadi wakil rakyat di parlimen atau dewan undangan negeri selama lima tahun berkuat kuasa daripada tarikh perletakan jawatannya dilihat tidak memadai.

"Cadangan ini perlu dipertimbangkan ekoran beberapa kejadian sejak akhir-akhir ini yang jelas menyalahgunakan proses demokrasi di negara ini dan merugikan wang pembayar cukai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Keng Liang mencadangkan supaya ADUN yang mengosongkan kerusi selain daripada sebab kematian, sakit atau alasan lain yang munasabah dikenakan denda RM100,000 manakala ahli parlimen dikenakan denda RM200,000.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya wakil rakyat itu menyertai parti lain, hukuman denda tersebut adalah separuh daripada yang ditetapkan selain hilang kelayakan bertanding untuk lima tahun.

Keng Liang juga mencadangkan agar parti yang diwakili oleh wakil rakyat yang letak jawatan itu hilang kelayakan daripada bertanding di kerusi yang sama untuk tempoh lima tahun.

"Bagaimanapun ia tidak menyekat parti lain daripada pakatan yang disertai oleh parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil," katanya.

Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri pada masa ini memperuntukkan mana-mana wakil rakyat yang mengosongkan kerusinya hilang kelayakan untuk jadi wakil rakyat selama lima tahun.

Undang-undang juga pada masa ini tidak menyekat mana-mana wakil rakyat untuk bertukar parti selepas menang pilihan raya seperti mana yang diputuskan oleh Mahkamah Agung dalam satu kes pada 1992.

Keng Liang membuat cadangan itu dengan merujuk kepada perletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh pada Isnin dengan alasan " untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor".

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengumumkan kerusi yang kosong itu akan ditandingi oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pencalonannya dipersetujui oleh Pakatan Rakyat.

Keng Liang juga merujuk kepada dua insiden sebelum ini yang kedua-duanya melibatkan PKR.

Pertama, perletakan jawatan Presiden parti itu Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada Julai 2008 yang membuka jalan kepada Anwar bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil pada 26 Ogos berikutnya.

Kedua, perletakan jawatan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin sebagai ADUN Penanti atas alasan melanjutkan pelajaran.