Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga agar tidak menjual gula-gula 'ghost smoke' terutama dalam kalangan pelajar sekolah atau mereka akan dikenakan hukuman berat jika didapati melanggar undang-undang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya memandang serius isu itu dan mana-mana penjual boleh dikenakan denda sehingga mencecah ratusan ribu ringgit atau hukuman penjara jika didapati melanggar Akta Perihal Dagangan 2011.

"Kita sedang lipat gandakan pemantauan dan beri tugas tambahan kepada penguat kuasa untuk lihat ghost smoke ini, jadi saya nasihatkan peniaga jangan jual sebab benda yang dijual tu murah, tapi hukuman sangat berat.

"Seperti kes di Kulim, pegawai penguat kuasa rampas 108 sachet gula-gula ini di premis runcit, nilainya hanya RM54... tidak berbaloi dengan hukuman," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Watikah Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) Zon Utara di sini, hari ini.

Isu ghost smoke mendapat perhatian umum setelah satu video yang menunjukkan kanak-kanak sekolah 'menghisap' gula-gula itu dan mengeluarkan asap seakan-akan rokok, tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata siasatan awal pihaknya mendapati gula-gula berkenaan diimport dan mempunyai logo halal, namun diragui.

Menurut beliau gula-gula itu juga didapati sudah lama berada di pasaran dan biasanya dijual berhampiran kawasan sekolah sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, mengenai PKP di zon utara iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang beliau berkata seramai 31 individu dilantik dan proses lantikan akan diteruskan ke negeri-negeri lain selepas ini.

Katanya PKP berperanan untuk membantu kementerian dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti kepenggunaan dan menjadi medium bagi pihak komuniti dan KPDNHEP.

"Mereka perlu memberi pemahaman dan melaporkan kepada kementerian berkaitan isu kepenggunaan yang dihadapi oleh pengguna dan peniaga di kawasan komuniti yang diwakili.

"PKP perlu tahu keadaan semasa dan fokus kepada isu pengguna termasuk kos sara hidup, transaksi atas talian, program food bank, subsidi petrolwum dan advokasi kepenggunaan," katanya.

-- BERNAMA