Hukuman mati mandatori tidak wajar dimansuhkan dan pelaksanaannya masih lagi relevan di negara ini dalam usaha membendung jenayah berat daripada berleluasa.

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Fareed Mohd Hassan berkata, Malaysia masih lagi perlu bergantung kepada hukuman mati mandatori yang mana ia sebagai satu langkah untuk membendung jenayah berat seperti kes dadah dan bunuh serta senjata api.

“Jangan terburu-buru untuk memansuhkan kerana hukuman itu masih relevan bagi Malaysia. Memang kerajaan boleh mansuhkannya dan seterusnya boleh kembali menguatkuasakan semula hukuman itu jika diperlukan pada masa akan datang.

“Namun tindakan seperti itu hanya akan beri satu imej yang buruk kepada Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pensyarah bidang kepakaran Undang-Undang Jenayah Antarabangsa itu berkata, jangan berpandukan kepada statistik jenayah meningkat kerajaan mengambil keputusan untuk mansuhkan hukum mati mandatori.

“Hukuman mati mandatori ini adalah sebagai usaha membendung jenayah dan bayangkan jika hukuman ini dimansuhkan penjenayah berpotensi akan lebih berani melakukan jenayah.

“Memang undang-undang antarabangsa ada memperuntukkan yang hukuman mati perlu dihapuskan seperti mana yang ada dalam Konvenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan Protokol Pilihan Kedua ICCPR.

“Namun, Malaysia bukan negara ahli kepada kedua-dua itu, jadi di peringkat antarabangsa Malaysia tidak terikat dengan apa yang diperuntukkan oleh ICCPR itu,” katanya.

Fareed berkata, mungkin satu hari nanti jika sudah ada alternatif lain dalam mengawal dan membendung jenayah berat, kerajaan boleh mencadangkan semula untuk memansuhkan hukuman mati mandatori.

“Tapi buat masa ini, hukuman mati mandatori masih perlu terus dikuatkuasakan sebagai langkah kawalan, memang diakui jenayah masih tetap berlaku, tapi melalui hukuman itu, akan bendung daripada terus berleluasa.

“Satu aspek lain, jika hukuman mati mandatori dimansuhkan dan diganti dengan penjara 20 ke 30 tahun, ini bermakna kerajaan perlu menanggung mereka. Adakah kerajaan yang sekarang ini dibelenggu dengan hutang ada keupayaan untuk berbuat demikian,” katanya.

Fareed menambah,di Malaysia mahkamah yang ada bidang kuasa untuk menjatuhkan hukuman mati mandatori adalah mahkamah tinggi.

“Namun itu bukanlah yang muktamad, pesalah yang dijatuhkan hukuman mati mandatori masih boleh melalui dua lagi ruang untuk merayu, di mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan kemungkinan boleh dilepaskan daripada hukuman tersebut masih wujud,” katanya.