Hukuman mati adalah hukuman terbaik untuk kesalahan membabitkan pengedar dadah yang didapati bersalah, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh.

Beliau berkata pihaknya akan sentiasa mencadangkan hukuman maksimum dalam kes pengedaran dadah sekiranya hukuman mati dimansuhkan.

"Secara peribadi saya berpendapat hukuman mati adalah hukuman terbaik bagi kesalahan berkenaan kerana pengedar dadah secara perlahan-lahan membunuh ramai penagih yang membeli dadah daripada mereka.

"Bagaimanapun sebagai polis, kita patuh sahaja undang-undang yang ditetapkan oleh Parlimen namun polis akan sentiasa meminta hukuman maksimum untuk pengedar dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini yang dilaksanakan pihak Peguam Negara.

Ahad lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dilaporkan berkata kajian itu dilakukan berikutan keputusan kerajaan berhasrat untuk memansuhkan hukuman mati mandatori yang dibuat bagi mengikut Standard Antarabangsa berkaitan Hak Asasi Manusia.

Mohmad Salleh berkata hukuman setimpal yang boleh dikenakan membabitkan pengedar dadah ialah penjara seumur hidup atau tidak kurang 15 kali sebatan sekiranya hukuman mati dimansuhkan.

-- BERNAMA