Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 terhadapnya kerana memberi kenyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2017.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan Adam Rosly terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 April 2018.

"Saya berpendapat tiada sebab untuk mencampuri keputusan Hakim Mahkamah Sesyen, oleh itu saya menolak rayuan ini dan mengesahkan sabitan dan hukuman," katanya.

Adam Rosly, diwakili peguam Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir manakala Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim mewakili pendakwaan.

Adam Rosly, 31, merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 selepas mendapatinya bersalah atas enam pertuduhan memberi kenyataan palsu dan mengemukakan dokumen palsu kepada SPRM semasa siasatan pada 2017 berhubung dakwaan berkaitan kekayaannya yang luar biasa.

Bagi dua pertuduhan pertama, Adam Rosly didakwa memberi kenyataan palsu ketika percakapannya dirakamkan dua pegawai penyiasat SPRM, mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kenyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, pendapatan, kenderaan mewah, banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai, pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya serta pinjaman wang daripada 'Ah Long' sebanyak RM500,000.

Bagi empat pertuduhan lagi, dia didakwa menggunakan dokumen perjanjian palsu daripada dua individu dan dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM, mengikut Seksyen 89 akta sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Feb 2017, dan antara jam 9 pagi hingga 2 petang, pada 22 Feb tahun sama.

Pertuduhan itu membawa denda maksimum RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, bagi setiap sabitan kesalahan.

Sementara itu, Nizam Bashir memberitahu pemberita beliau akan memfailkan usul bagi penangguhan pelaksanaan hukuman selain notis rayuan kepada Mahkamah Rayuan hari ini.

-- BERNAMA