Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tiga lelaki warganegara Indonesia yang mengaku bersalah mengangkut 54 migran senegara mereka yang diseludup termasuk tiga kanak-kanak menggunakan bot tanpa lesen.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki yang mengetuai panel tiga hakim mengekalkan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam ke atas Harianto, 43, Ramlan, 41, dan Sijul, 38, selepas menolak rayuan pendakwaan terhadap hukuman mereka.

"Keputusan kami sebulat suara. Kami mendapati rayuan pendakwaan tidak mempunyai merit, rayuan ditolak, hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan," kata Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama Hakim-hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Harianto, yang merupakan pemandu bot didakwa bersama-sama Ramlan dan Sijul iaitu awak-awak bot itu telah mengangkut migran yang diseludup di perairan Laut Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor pada 1 pagi, 21 Mac 2016.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh juga dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya.

Pada 27 Jan 2017, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga lelaki berkenaan selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman itu bermula pada tarikh tangkap pada 21 Mac 2016.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berhujah bahawa hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi adalah terlampau ringan kerana kesalahan yang dilakukan ketiga-tiga responden adalah serius dengan membawa 54 migran lelaki dan wanita termasuk tiga kanak-kanak berusia tujuh tahun, empat dan dua tahun itu di dalam sebuah bot kecil yang membahayakan nyawa mereka.

"Dalam kes ini saya akui tiada 'violence offences' (kesalahan ganas), tetapi dengan membawa 54 migran dalam keadaan bot kecil, tidak mempunyai lesen serta belayar pada waktu malam, ia boleh meragut nyawa sekiranya bot itu tenggelam," katanya

Ketiga-tiga responden yang tidak diwakili peguam dalam rayuan mereka masing-masing memohon hukuman tiga tahun itu dikekalkan kerana mereka menanggung keluarga di Indonesia.

Hakim Mohtarudin pula berkata kesalahan mereka adalah serius dan membahayakan nyawa migran-migran itu .

"Ada banyak kes yang berlaku di mana bot karam, mangsa juga telah meninggal dunia, kerajaan terpaksa mencari mayat mereka dan banyak perbelanjaan dikeluarkan," kata hakim itu.

Salah seorang daripada lelaki itu kemudiana memohon maaf kepada mahkamah atas kesalahan mereka.

-- BERNAMA