Sebut sahaja Janda Baik, pastinya terbayang kawasan hutan menghijau dengan udara segar dan dingin seperti berada di kampung.

Namun atas nama pembangunan, kawasan tadahan air semulajadi itu bakal berdepan kemusnahan, ekoran projek pembinaan grid elektrik yang bakal merentasi beberapa sungai utama di Janda Baik.

Kami mendapat maklumat daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) dan penduduk kampung bahawa berlakunya aktiviti pembalakan tidak terkawal di hutan simpan berkenaan.

Ia dikatakan bertujuan memberi laluan kepada projek pembinaan grid elektrik yang bakal merentasi beberapa sungai utama seperti Sungai Benus, Sungai Chemperoh dan Sungai Tampik.

Untuk ke lokasi berkenaan, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi meninjau kawasan hutan yang diteroka di sekitar Janda Baik.

Kediaman pekerja pembalakan kelihatan sekitar hutan berkenaan menandakan aktiviti pembalakan sedang giat dijalankan.

Namun kehadiran kami disedari dan semua kerja pembalakan dihentikan.

Dua jentera penolak dan jengkaut juga ditinggalkan di tengah jalan bertujuan menyekat perjalanan kami ke lokasi pembalakan.

Jengkaut ditinggalkan di tengah jalan bertujuan menyekat perjalanan kami ke lokasi pembalakan.

Kesan tanah yang masih merah juga menunjukkan jalan yang baharu dibuka dipercayai untuk mengeluarkan kayu balak.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, mendakwa kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Perhutanan bagi pembalakan untuk laluan grid elektrik itu mengambil kesempatan membalak di luar kawasan yang ditetapkan.

"Apa kami lihat dengan jelasnya adalah mereka langsung tidak mengendahkan zon pemampan yang mana tidak sepatutnya berlaku penerokaan dan pengambilan balak juga tidak mengikut diameter. Ini jelas tidak mengikut peraturan ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Kerja-kerja penerokaan itu juga sekali gus menyebabkan anak sungai berhampiran tertimbus.

Malah tinjauan kami juga dapati air sungai sekitar Janda Baik juga semakin cetek.

Wakil Penduduk Janda Baik, Mat Sabri Ahmad Malek bimbang keadaan sungai yang makin kering itu bakal menimbulkan risiko banjir lumpur apabila berlaku hujan lebat.

"Kawasan di mana berlakunya aktiviti pembalakan adalah membabitkan sungai-sungai utama yang membekalkan air ke seluruh kampung. Di kampung ini, kami bergantung sepenuhnya kepada air bukit untuk air minuman dan kegunaan seharian.

"Jadi kalau berlaku pembalakan, air akan tercemar menyebabkan kawasan tadahan air kampung terjejas, dan sekarang air pun makin surut dan banjir sering kali berlaku," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan ke kawasan penerokaan di Hutan Simpan Janda Baik.

Tinjauan Astro AWANI ke Sungai Kuala Lurau mendapati sungai berkenaan telah bertukar kepada sungai batu ekoran keadaannya yang kering kontang dan menampakkan batu-batu yang sebelum ini berada di dasar sungai berkenaan.

Sungai Kuala Lurau adalah salah satu daripada lima sungai utama di Kampung Janda Baik termasuk Ulu Sungai Benus, Sungai Cemperoh, Sungai Kepayang dan Sungai Tampik.

Tidak mahu nasib sama menimpa sungai-sungai lain, sekumpulan penduduk Kampung Janda Baik bertindak membantah sebarang aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan.

Rata-rata penduduk mendesak agar sebarang kegiatan pembalakan di kawasan tadahan air itu dihentikan serta merta.

Rata-rata penduduk mendesak agar sebarang kegiatan pembalakan di kawasan tadahan air itu dihentikan serta merta.

Selain mendatangkan risiko pencemaran kepada sumber air penduduk, sektor eko-pelancongan Janda Baik dibimbangi terjejas ekoran aktiviti terbabit.

Malah menurut Pengusaha Agen Pelancongan Tempatan, Jeffrey Jais, kemasukan pelancong sedikit terjejas ekoran aktivti pembalakan yang berlaku.

"Saya sendiri menyediakan khidmat membawa pelancong naik ke kawasan air terjun untuk tujuan trekking dalam hutan. Sekiranya sumber hutan diganggu-gugat oleh aktiviti pembalakan, ia akan memberi kesan kepada sosio-ekonomi penduduk setempat dan tiada orang nak datang melawat kampung Janda Baik ini," katanya kepada Astro AWANI.

Dianggarkan kira-kira 2,000 penduduk kampung Janda Baik bakal terjejas ekoran sumber bekalan air yang tercemar dan kesan eko-pelancongan akibat aktiviti pembalakan berterusan.