Semua kawasan hutan lipur di Terengganu disahkan bebas daripada wabak kencing tikus atau leptospirosis.

Pengarah Perhutanan Terengganu, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, pihaknya sentiasa menerima laporan daripada pejabat kesihatan daerah setiap bulan dan setakat ini tiada masalah wabak kencing tikus dilaporkan.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan sentiasa mengambil sampel air di hutan lipur negeri ini dan hasil ujian, destinasi-destinasi itu masih selamat dikunjungi pengunjung.

"Masalah kencing tikus bukannya daripada hutan lipur sahaja, di tempat lain ada juga seperti restoran. Cuma lazimnya orang terus kaitkan kencing tikus ini dengan air terjun di hutan-hutan lipur.

"Perkara ini harus difahami sebaik mungkin oleh orang ramai. Pengunjung juga perlu main peranan bagi elak perkara ini iaitu dengan turut sama jaga kebersihan kawasan air terjun atau hutan lipur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Lawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman ke Taman Eko Rimba Sekayu dan Taman Pertanian Negeri Sekayu di sini, semalam.

Hadir sama, Pegawai Hutan Daerah Terengganu Barat, Mohd Asri Yussof.