Kedudukan terkini jumlah hutang Kerajaan Persekutuan pada akhir Jun 2016 adalah sebanyak RM655.7 bilion atau 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata daripada jumlah berkenaan, 95.9 peratus atau RM628.8 bilion adalah hutang domestik, sementara 4.1 peratus atau RM26.9 bilion merupakan pinjaman luar pesisir.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan hutang kekal terurus dan dikategorikan sebagai negara keberhutangan sederhana.

"Hutang yang dibuat oleh kerajaan persekutuan adalah bertujuan untuk membiayaai defisit berikutan kekurangan hasil bagi menampung perbelanjaan pembangunan kerajaan.

"Pinjaman yang dibuat untuk membiyaai perbelanjaan pembangunan adalah perbelanjaan produktif yang dapat menyokong pembangunan ekonomi dan berimpak rakyat seperti pembinaan sekolah, hosiptal, jalan raya dan empangan.

"Selain itu, secara tidak langsung memberi manfaat kepada sektor swasta untuk melaksanakan pelbagai program atau aktiviti. Jumlah jaminan yang diberikan oleh Kerajaan sehingga Jun 2016 adalah RM180.9 bilion atau 14.7 peratus daripada KDNK," kata Datuk Seri Najib pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambah beliau, jaminan tersebut diberikan terutama kepada entiti awam untuk melaksanakan projek infrastruktur seperti Dana Infra, Prasarana dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di mana entiti tersebut terlibat dalam pembinaan infrastruktur seperti MRT, LRT dan pinjaman pelajaran untuk pendidikan peringkat tinggi.

Datuk Seri Najib berkata demikian sebagai menjawab soalan dikemukakan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan berasaskan pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat lepas, berapakah sebenarnya jumlah hutang negara dan jumlah jaminan Kerajaan serta apakah tujuan hutang dan jaminan tersebut.

Justeru katanya, Kerajaan terus komited untuk memastikan paras hutang negara tidak melebihi 55 peratus daripada KDNK.

"Bagi memastikan paras hutang negara kekal rendah dan kondusif, langkah konsolidasi fiskal akan terus diamalkan bagi mengurangkan paras defisit secara berperingkat," ujarnya.

Pada Jun lalu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata sehingga akhir 2015, hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik dan hutang luar pesisir, mencatat RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Perdana Menteri berkata pengurusan ekonomi yang cekap membolehkan kerajaan terus memberi pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat di sebalik kelembapan ekonomi global.