Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari menyerahkan hasil sumbangan yang dikumpul dari orang ramai dan syarikat korporat melalui kempen YKN-Tabung Rakyat Palestin.

Sumbangan RM500,000 itu diserahkan Wan Azizah kepada wakil Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA).

Turut menerima sumbangan adalah organisasi bukan kerajaan (NGO) yang juga merupakan rakan strategik Yayasan Kebajikan Negara (YKN), iaitu MyCARE dan Islamic Relief Malaysia (IRM), yang masing-masing menerima RM100,000.

"Memang kita tidak pernah berhenti walaupun negara kini berhadapan dengan kekangan hutang negara. Ia satu masalah domestik yang perlu kita tangani.

"Betul, kita perlu tangani masalah sendiri sebelum nak menolong orang tetapi kita juga perlu bijak untuk gunakan mana-mana ruang yang ada kerana keadaan di Tebing Barat sangat genting dan mereka memerlukan bantuan kita," kata Wan Azizah.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan di Putrajaya, pada Jumaat.

YKN-Tabung Rakyat Palestin dilancarkan Wan Azizah pada Julai lalu sebagai satu inisiatif membantu kelangsungan hidup rakyat Palestin terutama dari aspek pendidikan, kesihatan dan kebajikan.