Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan 14 November ini untuk ibu kepada Tan Sri Jamaludin Jarjis memfailkan afidavit balasan terhadap bantahan awal menantu dan empat cucunya bagi mendapatkan sijil faraid bagi pembahagian harta peninggalan yang bernilai kira-kira RM2 bilion.

Balu Allahyarham Jamaludin, Puan Sri Kalsom Ismail, 62, serta empat anak mereka, Ikhwan Hafiz, 31; Nur Anis, 33; Nurul Alyaa, 27, dan Noor Adila, 23, selaku pihak-pihak plaintif mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan Aminah Abdullah, 84, yang memohon lebih 20 hartanah di Malaysia, Amerika Syarikat (AS) dan Makkah serta syarikat milik Jamaluddin dimasukkan di dalam sijil faraid.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie Datuk Shamsuriah Sulaiman yang mewakili Kalsom ketika pengurusan kes di hadapan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Siti Zulaiha Mohamad Mansor.

Shamsuriah berkata mahkamah menetapkan tarikh berkenaan bagi pihak plaintif mengemukakan afidavit jawapan mereka.

Prosiding itu turut dihadiri, peguam Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili anak-anak Jamaludin dan Nur Hidayah A. Bakar bagi pihak Aminah.

Permohonan faraid itu difailkan oleh Aminah pada 2 Mac lalu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengikut Seksyen 46(ix) Akta Pentadbiran Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1993 bagi menentukan bahagian-bahagian kepada waris yang berhak dalam harta pusaka milik Allahyarham Jamaludin.

Sijil Faraid merupakan satu penyata mengenai tahap-tahap pembahagian setiap waris si mati dan selepas mendapat sijil faraid berkenaan, maka harta pusaka akan dibahagi-bahagikan mengikut aturan yang termaktub.

Jamaludin, 64, terkorban akibat nahas helikopter AS365N2 Dauphin yang terhempas dan terbakar di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih di sini kira-kira pukul 4.55 petang, 4 April 2015.