"Babi itu datang dan terus langgar motosikal saya. Ketika itu, saya hanya fikirkan keselamatan anak kecil yang ada bersama."

Demikian kata Asmawati Hassan ketika menceriakan detik cemas semasa diserang seekor babi hutan yang muncul secara tiba-tiba di kawasan perumahan Desa Cempedak, Tasek Gelugor, semalam.

Selepas terjatuh dari motosikal, Asmawati berkata, babi hutan itu terus menyerangnya menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian kaki dan calar-calar di seluruh badan.

Anaknya yang berusia setahun lima bulan pula cedera di bahagian muka.

Namun, kedua-dua mereka bernasib baik apabila seorang penduduk datang menghulurkan bantuan, walaupun dia sendiri turut cedera diserang haiwan berkenaan.

"Ketika kejadian, saya baru hantar anak sulung pergi mengaji. Tiba-tiba haiwan itu muncul dan sondol motosikal kami sampai terjatuh, lepas itu dia sondol kami pula.

“Apabila ada pakcik datang tolong kami, kami lari masuk sebuah rumah berdekatan. Kemudian haiwan itu sondol pakcik itu pula,” kata Asmawati.

Dia antara tiga mangsa yang cedera dalam insiden serangan babi hutan yang mengganas di kawasan perumahan itu kira-kira pukul 6.20 petang Selasa.

Seorang lagi mangsa, Wan Ibrahim Wan Ismail, 60 tahun, berkata dia baru sahaja selesai berkebun apabila diserang haiwan berkenaan dari belakang.

Katanya, babi hutan itu menyerangnya bertubi-tubi hingga memaksanya mencederakan haiwan itu menggunakan sabit bagi mempertahankan diri.

"Ketika itu saya ada di tepi rumah, baru lepas sabit rumput, lebih kurang pukul 6.30 petang. Saya baru hendak masuk rumah apabila tiba-tiba saya terpelanting disondol. Haiwan tu datang dari belakang.

“Saya nak bangun semula tetapi babi tu sondol sekali lagi. Jadi saya sabit mata dia dan terus lari masuk pagar rumah,” katanya.

Akibat kejadian itu, ibu jari kiri Wan Ibrahim terpaksa dipotong dan tangan kanannya juga menerima beberapa jahitan.

Tambah Wan Ibrahim, abangnya Wan Idris yang menyelamatkan Asmawati dan anak kecilnya, mengalami kecederaan parah dan terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Seberang Jaya.

Penduduk lain turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana bimbang keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak.

Sementara itu, Ketua Perhilitan Daerah Seberang Perai, Mohd Zainuddin Busrah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudahpun turun padang dan melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

Katanya, mereka akan mengenal pasti tindakan yang boleh diambil bagi mengatasi masalah itu.

Tambahnya, kawasan persekitaran yang dipenuhi semak samun turut menarik perhatian haiwan berkenaan untuk bersarang.